Home Ekonomi IHP Mei susut 2.9%

IHP Mei susut 2.9%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Mei turun 2.9 peratus kepada 117.9 berbanding 121.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks kumpulan Pengangkutan (-20.8%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-2.6%), Pakaian dan Kasut (-1.1%) dan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.2%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Walau bagaimanapun, kumpulan utama Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi Mei 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.3 berbanding 132.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Pelbagai Barangan dn Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus diikuti Komunikasi (1.6%), Kesihatan (1.2%) dan Pendidikan (1.0%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP tanpa bahan api berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada Mei 2020 berbanding 0.2 peratus yang direkodkan pada April 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel.

Purata harga RON95 yang lebih rendah pada Mei 2020 iaitu RM1.30 per liter berbanding RM2.08 pada Mei 2019 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM1.60 per liter berbanding RM2.74
manakala Diesel menurun kepada RM1.45 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.8%), Komunikasi (1.6%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.4%).

Manakala indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.3 peratus berbanding April 2020.

Peningkatan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (1.0%), Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (0.5%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.3%), Restoran dan Hotel (0.1%) dan Minuman Alkohol dan Tembakau (0.1%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 menurun 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini dipengaruhi oleh kumpulan Pengangkutan (-9.1%) dan Pakaian dan Kasut (-1.2%).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.9 hingga -3.8 peratus bagi Mei 2020 berbanding Mei 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Sarawak (-3.8%) diikuti oleh Kelantan (-3.7%) dan Kedah & Perlis (-3.7%).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1%), Perak (1.8%), Pulau Pinang (1.7%) dan Johor (1.3%) dan ia melebihi paras nasional 1.2 peratus bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol pada Mei 2020. – MalaysiaGazette