KUALA LUMPUR- Penganjuran majlis sosial seperti kenduri-kendara dan sambutan hari jadi atau ulang tahun perkahwinan dibenarkan bermula 1 Julai ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, majlis tersebut mestilah berlangsung tidak melebihi tempoh lima jam dengan kehadiran tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa bergantung kepada kapasiti lokasi penganjuran.
Pihak penganjur juga perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan iaitu mewajibkan peramu saji menyenduk makanan bagi hidangan secara bufet, selain penganjur perlu melakukan saringan kesihatan kepada semua tetamu.
Setiap tetamu perlu diperiksa suhu badan, merekod pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan penjejakan kontak sekiranya berlaku jangkitan dan menjaga jarak sosial masing-masing.
“Penyajian makanan secara bufet masih tidak dibenarkan tetapi kita memberi kelonggaran dengan mewajibkan hidangan disenduk oleh peramu saji.
“Tetamu tidak boleh ambil makanan sendiri tetapi cara terbaik adalah dengan makan secara berhidang,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambah Ismail Sabri, tetamu yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke majlis berkenaan.
“Jika pihak penganjur merasakan sukar untuk mematuhi SOP dan mengawal tetamu, maka tidak perlulah mereka teruskan majlis berkenaan kerana pihak penguatkuasaan masih memantau tahap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette