Home Politik Mohd Sharim tetap turun padang walau BN boleh menang

Mohd Sharim tetap turun padang walau BN boleh menang

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (tengah) beramah mesra bersama peniaga kedai runcit semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Bandar Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2020.

CHINI – Mohd Sharim Md Zain yakin parti itu mampu meraih 95 peratus undi dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada Julai depan, seperti mana jangkaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, biarpun kejayaan itu boleh dicapai namun beliau tidak mahu terus selesa, sebaliknya akan meneruskan kempen untuk terus mendapat tempat di hati pengundi Chini.

”Sebagai calon saya akan terus berjumpa pengundi untuk memastikan kepercayaan kepada saya diberikan di DUN Chini.

“Saya tidak boleh terlalu yakin memandangkan kita masih dalam tempoh berkempen. Saya perlu memastikan sentuhan kita selaku calon sampai ke peringkat akar umbi dan pengundi di DUN Chini serta pengundi luar,” katanya ketika ‘walkabout’ di sekitar Bandar Chini, pagi ini.

Beliau ditemani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bercakap kepada media semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Bandar Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2020.

Najib pada 8 Jun lalu berkata kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional diyakini mampu meraih lebih 95 peratus undi pada PRK kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Pekan itu berkata, jangkaan tersebut dibuat selepas pengundi kedua-dua parti memberi sokongan penuh kepada calon BN pada PRK DUN Chini.

Bagaimanapun, beliau mahu menang dengan majoriti tambahan susulan BN adalah sebahagian besar daripada parti pemerintah.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, Mohd Sharim mempunyai tiga kriteria sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bagus untuk berkhidmat kepada pengundi-pengundi Chini.

Antaranya, Mohd Sharim adalah anak muda yang mampu untuk berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat Felda dan Orang Asli.

“Kedua, beliau mewakili generasi Felda. Kita berada tiga penggal dua tahun di bawah Allahyarham yang juga peneroka Felda.

“Jadi tiba giliran generasi kedua Felda untuk mewakili kawasan ini. Lebih-lebih lagi 80 peratus pengundi kawasan ini terdiri daripada warga peneroka.

“Selain itu beliau juga boleh berperanan di Kampung Tradisional dan masyarakat Orang Asli.

“Ketiga adalah  dibelakangnya ada dua kerajaan yang boleh membantu membangunkan lagi masyarakat Chini iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Berbanding dua calon bebas yang tidak didukung oleh sebarang kerajaan dibelakangnya, jadi hasrat rakyat tidak akan kesampaian jika kita sokong calon bebas,” katanya.

Hari ini adalah hari kelima kempen PRK DUN Chini yang akan berakhir pada 4 Julai depan.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim dengan dua lagi calon Bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Kerusi DUN Chini kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette