KUALA LUMPUR- “Pelakuan rasuah adalah suatu kenikmatan,” demikian menurut bekas Majistret Mohd. Firdaus Ramlan yang pernah dipenjarakan kerana meminta dan menerima rasuah pada 2009.
Beliau yang aktif berceramah bagi memberi kesedaran terhadap bahaya rasuah mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali cuba melakukan kesalahan tersebut meskipun pada jumlah yang amat kecil.
Menurut Firdaus, pelakuan rasuah biasanya bermula dengan jumlah yang sangat kecil seperti sekotak rokok dan apabila seseorang itu mula merasai nikmatnya, mereka tidak akan berhenti daripada melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Jangan lihat kepada besar atau kecil jumlah rasuah tersebut tetapi lihatlah kepada kesannya.
“Ia memberi kesan yang sangat besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan institusi yang berkaitan dengan kita.
“Saya melakukan kesalahan menerima rasuah daripada seorang penagih dadah tegar yang melanggar perintah dan sepatutnya menerima hukuman penjara tetapi apa yang saya lakukan adalah bebaskan dia dengan bon jaminan berkelakuan baik.
“Lihat bagaimana saya telah membebaskan seseorang yang sepatutnya dipenjarakan untuk berada di dalam masyarakat?
“Dari segi diri sendiri pula, saya telah dipenjarakan tetapi kesannya tidak begitu kuat kerana ia adalah hukuman paling adil untuk saya tetapi ianya tidak adil kepada keluarga saya.
“Saya dipenjara dan terputus hubungan dengan dunia luar tetapi keluarga saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai tohmahan masyarakat di atas kesalahan yang saya lakukan yang mana mereka sendiri tidak tahu.
Ini tidak adil kepada mereka dan ia merupakan beban paling berat untuk saya lihat,”
“Institusi kehakiman dan perundangan juga menjadi bahan jenaka disebabkan kesalahan peribadi saya, begitu juga institusi pengajian tinggi tempat saya belajar, kesemuanya terpalit dengan kesilapan saya,” katanya semasa menjadi tetamu sebuah program khas di radio MACC.fm hari ini.
Firdaus ditahan pihak berkuasa pada 2009 kerana menerima rasuah sebanyak RM3,000 di Machang, Kelantan.
Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun pada 2012 dan apabila dibebaskan, Firdaus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengadakan ceramah bagi memberi kesedaran kepada orang awam, pelajar serta syarikat-syarikat swasta.
Tegas Firdaus, banyak sebab bagaimana kesalahan rasuah boleh berlaku dan ianya sukar dihentikan.
Namun begitu, beliau menyenaraikan kenikmatan menerima rasuah serta jalan paling mudah untuk memiliki barangan yang dihajati sebagai perkara utama mengapa seseorang individu itu sukar untuk meninggalkan perbuatan tersebut.
“Jangan sesekali bermula. Saya merayu, kerana apabila anda mula menerima rasuah memang sukar untuk berhenti.
“Tidak kiralah siapa pun anda, sebesar mana jawatan anda atau apa pun latar belakang agama anda, apabila sudah mula terlibat dengan rasuah, memang sukar untuk berhenti.
“Ini kerana ramai orang tahu termasuklah pelaku rasuah sendiri bahawa perbuatan rasuah adalah salah tetapi mereka tidak sedar mereka sedang melakukannya.
“Saya sendiri apabila menerima rasuah tersebut merasakan ia adalah ganjaran kepada pertolongan saya melepaskan seseorang yang sepatutnya dipenjarakan.
“Jadi, saya rasa saya berhak menerima habuan tersebut tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya yang mendapat pendidikan menengah di sekolah agama.- MalaysiaGazette