Home Nasional Tiada kepelbagaian punca SACC Mall suram

Tiada kepelbagaian punca SACC Mall suram

SACC Mall

KUALA LUMPUR – Lambakan kedai baju, tiada pilihan kepelbagaian barangan keperluan lain antara punca pusat beli belah SACC Mall kurang pengunjung.

Rata-rata pengunjung ditemui memberitahu, premis itu dikenali sebagai pakaian sahaja sedangkan orang ramai mempunyai banyak pilihan di sekitar untuk membeli baju.

Seorang pengunjung, Nur Iman Insyirah Azhan, 20, berkata, premis berkenaan perlu dilengkapi lebih banyak pilihan seperti kedai elektrik, kedai jam, beberapa pilihan kedai kasut, medan selera, kedai komputer, beberapa pilihan kedai buku yang boleh menambah minat pengunjung.

Katanya, SACC Mall semakin kurang pengunjung sejak banyak pasaraya lain seperti Aeon dan I-City dibuka kerana orang ramai mahu tempat yang lebih banyak pilihan, tempat lepak dan ada tempat makan.

“SACC Mall hanya jadi tumpuan apabila menjelang musim perayaan sahaja kerana ia memiliki lambakan pelbagai jenama pakaian tetapi secara logiknya mana ada orang mahu beli baju hari-hari.

“Jika ada beberapa pilihan lain seperti lebih banyak kedai telekomunikasi, kedai makan atau kedai gaya hidup seperti kedai kopi, kedai keperluan harian untuk bahan basah dan kering serta lain-lain akan menarik pelbagai peringkat masyarakat datang ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik butik Seri Radiah Songket, Radiah Mohd Shukri memberi cadangan supaya syarikat jenama terkenal seperti Starbuck diberi tempat di dalam premis sebagai satu cara menarik orang ramai.

“Kita mengambil contoh Plaza Masalam, dulu malap tanpa pengunjung tetapi setelah beberapa syarikat terkenal masuk pengunjung kembali bertambah.

“Kebanyakan pengunjung di premis ini terdiri daripada golongan pertengahan dan atasan, jadi jenama terkenal seperti itu boleh menambahkan kemeriahan di premis ini.

“Lokasi premis ini strategik tetapi perlu ditingkatkan lagi promosi dan daya tarikannya,” katanya. – MalaysiaGazette