Home Nasional Bahaya ambil PATI bekerja, rugikan majikan – Sahul

Bahaya ambil PATI bekerja, rugikan majikan – Sahul

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Syor Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membenarkan majikan memilih tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bekerja dilihat merbahaya dan merugikan.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, mengikut pengalamannya sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen, kaedah itu pernah dipraktikkan sebelum ini tetapi merugikan majikan.

“Senarionya begini, PATI yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen berkenaan memiliki sejarah pengalaman bekerja dengan majikan asal.

“Kerana mereka tiada dokumen dan bebas memilih majikan sebelum ini, mereka akan memilih majikan yang selesa bekerja bersama.

“Apabila mereka ditahan dan dipilih oleh majikan lain, sudah tentu mereka akan lari kepada majikan asal dan perkara ini banyak berlaku.

“Apabila mereka lari, bukan sahaja majikan rugi malah kerajaan rugi lebih banyak kerana penat sahaja melancarkan operasi besar-besaran akhirnya PATI lari buat kali kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas syor KDN kemungkinan membenarkan majikan memilih PATI yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen untuk diambil bekerja.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, langkah itu boleh mengurangkan beban kewangan ditanggung kerajaan bagi menyediakan makan dan minum mereka.

Tambah Shahul, kerajaan perlu mengutamakan warga tempatan terlebih dahulu dengan memberi mereka peluang pekerjaan, mendidik mereka supaya terima apa sahaja kerja pada zaman kemelesetan ekonomi ini.

“Saya rasa rakyat tempatan sudah bersedia menerima apa sahaja kerja kerana faktor ekonomi yang menghimpit. Mungkin sektor 3D’ (dangerous, difficult dan dirty) sahaja peluang boleh diberikan kepada PATI tetapi dengan tahap kawalan dan penyeliaan yang ketat agar mereka tidak lari,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.