KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan kawasan pendakian popular di Semenyih iaitu Bukit Broga ditutup bermula Sabtu ini hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, arahan perintah penutupan itu di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Mutakhir ini, terdapat pelaporan di media masa dan media sosial terhadap tahap pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di kalangan individu, syarikat dan industri yang mungkin semakin menurun.
“Terdapat premis kedai dan syarikat yang tidak beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Misalnya, baru-baru ini terdapat penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham menegaskan, SOP dan normal baharu yang sering ditekankan kerajaan sememangnya bertindak sebagai sistem pertahanan negara terhadap penularan wabak Covid-19.
Justeru, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu itu.
“KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat.
“KKM mengingatkan masyarakat bahawa bahaya jangkitan Covid-19 adalah masih wujud di dalam komuniti.
“Oleh itu, KKM menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkahlangkah pencegahan jangkitan Covid-19 pada setiap masa dan terus amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette