TIDAK dinafikan bahawa virus kecil COVID-19 telah pun menggegarkan satu dunia, dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial di setiap negara. Hari ini, setelah lebih 3 bulan kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negara kita kini berada di dalam fasa pemulihan krisis Covid-19.
Menyoroti kembali pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ucapan di televisyen dan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk Malaysia, sebagai langkah pencegahan sebagai tindak balas terhadap wabak COVID-19 di negara ini.
Sejak itu, Malaysia melalui 7 Fasa Perintah Kawalan Pergerakan, dengan semua tindakan tegas yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar dapat membendung wabak COVID-19 secara efektif.
Negara kita telah mengalami beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang secara langsung turut memberi impak besar kepada ekonomi negara dan kehidupan kita hari ini. Berikut merupakan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): –
• Fasa 1 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 hingga 31 Mac 2020
• Fasa 2 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 01 hingga 14 April 2020
• Fasa 3 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April 2020
• Fasa 4 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 29 hingga 3 Mei 2020
• Fasa 5 – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 hingga 11 Mei 2020
• Fasa 6 – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 12 Mei 2020 hingga 9 Jun 2020
• Fasa 7 – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020
Pada ruangan kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) ingin menyentuh aspek implikasi COVID-19 kepada ekonomi negara secara khusus.
Antara petunjuk tahap kesihatan ekonomi tempatan yang boleh digunapakai adalah Indeks Pelopor atau “Leading Index” dan Indeks Harga Pengguna atau “Consumer Price Index”.
Indeks Pelopor ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan dan kitaran perniagaan tempatan, yang secara terus menunjukkan implikasi Covid-19 kepada ekonomi dalam negara.
Indeks Harga Pengguna pula menunjukkan kuasa beli rakyat dan implikasi Covid-19 kepada kadar inflasi negara.
Berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Pelopor (IP) merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus. Gangguan berpanjangan dalam ekonomi terus menjejaskan prestasi Indeks Pelopor (IP).
Berasaskan tahun ke tahun, IP merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus pada April 2020 daripada negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 didorong oleh sumbangan negatif daripada Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar.
Keadaan ini menunjukkan bahawa sektor pembinaan merudum teruk kerana tiada permintaan, manakala tiada perniagaan baru dijana kerana masing-masing bertukus-lumus menyelamatkan syarikat sedia ada agar tidak ditutup.
Bagaimanapun, terdapat sedikit momentum positif yang dicatatkan oleh Jangkaan Nilai Jualan di sektor Pembuatan yang menyumbang 2.1 peratus kepada perubahan peratusan IP pada bulan rujukan memandangkan perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula pada Mei 2020.
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong keputusan kerajaan yang membuka ruang kepada sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agar ekonomi negara kembali pulih tanpa menjejaskan keselamatan rakyat terhadap pandemik Covid-19.
Mengambil kira prestasi tahunan IP yang lebih lemah, dijangkakan bahawa ekonomi akan kekal di dalam trajektori penguncupan dalam bulan-bulan ke hadapan.
Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 2.9 peratus pada Mei 2020 kepada 117.9 berbanding 121.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks Pengangkutan (-20.8%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-2.6%), Pakaian & Kasut (-1.1%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.2%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Bagaimanapun, Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus meningkat pada Mei 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.3 berbanding 132.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus diikuti Komunikasi (1.6%), Kesihatan (1.2%) dan Pendidikan (1.0%).
Data dan statistik Indeks Harga Pengguna (IHP) jelas menunjukkan bahawa rakyat kini berjimat cermat dalam perbelanjaan dan hanya berbelanja untuk survival diri dan keluarga untuk keperluan asas seperti makanan dan minuman.
Jelas pandemik Covid-19 sangat mempengaruhi ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi ekonomi global.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), KDNK 1Q 2020 Malaysia menurun kepada 0.7% disebabkan oleh kesan tindakan yang diambil, baik di peringkat global dan domestik untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.
Dijangka pertumbuhan keseluruhan KDNK untuk tahun 2020 serendah -4.7%. Menteri Kewangan YB Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyebutkan bahawa defisit fiskal negara akan menjadi hampir dua kali ganda, meningkat kepada sekitar 6% daripada output ekonomi tahunan pada tahun 2020 disebabkan oleh pembiayaan dalam projek-projek bantuan kerajaan berkaitan dengan pandemik Covid-19.
Pemulihan ekonomi bergantung pada pihak awam dan swasta yang saling berkaitan secara dinamik, demi kebaikan sosial dan ekonomi negara. Semasa PKP sahaja, 66% perniagaan mengalami penurunan permintaan yang drastik sehingga menyukarkan usaha mempertahankan perniagaan sedia ada.
Kerajaan Malaysia secara proaktif telah mengambil banyak inisiatif untuk merangsang dan meningkatkan ekonomi, serta meningkatkan ekonomi di sektor swasta, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan rancangan PENJANA.
PRIHATIN dijangka menyumbang sebanyak 2.8% kepada pertumbuhan KDNK.
Agensi antarabangsa meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 4.7% dan 9%, dengan keadaan kesihatan awam yang terkawal. Prestasi ekonomi Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur selepas Jun 2020 dan mencatat pemulihan positif pada tahun 2021, disokong oleh langkah fiskal, monetari dan kewangan yang cukup besar dan kemajuan dalam projek infrastruktur awam yang berkaitan dengan pengangkutan.
Sama-sama kita berdoa agar negara kita keluar daripada krisis ekonomi.- MalaysiaGazette
Shahir Adnan
Ketua Pemuda Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap Naib Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan.