CHINI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain melafazkan ikrar untuk memperjuangkan nasib masyarakat Orang Asli di sini.
Malah beliau juga akan membangunkan kampung tradisi di kawasan DUN Chini.
“Saya akan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar, mantan ADUN Chini.
“Saya akan melakukan sebaik mungkin untuk memastikan nasib masyarakat Chini khususnya di kawasan kampung Orang Asli dan kampung tradisi dan juga masyarakat Felda akan saya perjuangkan sebaik mungkin,” katanya ketika mengadakan lawatan di Kampung Bendaling, hari ini.
Mohd Sharim mengiringi Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang turun berkempen di sekitar Chini, hari ini.
Dalam pada itu, seramai 215 penduduk membabitkan 53 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Bendaling gembira dengan kata-kata Mohd Shahrim.
Menurut Tok Batin Manda Mat, 62, pihaknya gembira dengan kedatangan calon BN yang membawa berita gembira kepada mereka.
Mana tidaknya, kesemua mereka bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam dalam masa terdekat ini.
“Ini merupakan tanah adat kami dan sudah beberapa generasi tinggal di sini tanpa bekalan elektrik.
“Jadi kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ahli Parlimen Pekan mengiringi calon BN ke sini hari ini rupanya membawa berita gembira buat kami sekampung,” katanya selepas program bertemu penduduk Orang Asli bersama calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain di sini hari ini.
PRK DUN Chini 4 Julai nanti menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dengan dua lagi calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. – Malaysiagaze