Tahukah anda bahawa Universiti Al-Qarawiyyin adalah universiti tertua dan pertama dunia yang ditubuhkan di bandar Fez, Maghribi pada tahun 859 Masihi semasa pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah.
Untuk rekod, pada tahun 1998, Guinness Book of World Records telah secara rasminya menetapkan Universiti Al-Qarawiyyin sebagai universiti tertua dan pertama di dunia.
Lebih menarik lagi universiti ini telah diasaskan oleh seorang wanita Islam iaitu Fatimah al-Fihri yang lahir di Tunisia, merupakan seorang ilmuwan dan dermawan. 111 tahun kemudian barulah Universiti Al Azhar di Mesir ditubuhkan pada tahun 970M.
Dalam tradisi masyarakat barat, Universiti Bologna di Itali adalah universiti tertua yang ditubuhkan pada tahun 1088M. Universiti Oxford di England pula ditubuhkan pada tahun 1096M dan merupakan universiti pertama di kalangan negara penutur bahasa Inggeris. Maksudnya, selepas 126 tahun Universiti Al Azhar di tubuhkan barulah Universiti Oxford mula dibangunkan.
Di Malaysia, sistem pendidikan Inggeris hanya bermula pada tahun 1826 di Pulau Pinang atas usaha Kapten Francis Light dan kemudian disambung oleh pejabat kolonial. Sedangkan sistem pendidikan Islam telah bermula di Tanah Melayu sejak tahun 1410 bila dicatatkan oleh Tome Pires di dalam catatan Suma Oriental (ditulis sekitar tahun 1412-1415) yang guru guru agama mula mengajar ilmu Islam di perkarangan istana Sultan Muhammad Syah di Melaka.
Begitulah saya ingin gambarkan betapa pendidikan Islam jauh lebih awal kewujudannya berbanding pendidikan Inggeris pada masa dahulu di negara itu. Malangnya bangsa Melayu yang beragama Islam di negara ini nampaknya tidak yakin dengan sistem pendidikan Islam apatah lagi cuba mempertahankannya.
Selepas hampir 400 tahun dijajah oleh kuasa barat (Portugis, Belanda dan Inggeris, hari ini tanpa ragu ragu kita telah menerima amalan pendidikan barat sebagai teras pendidikan kebangsaan. Untuk tidak merasa ‘berdosa’, lalu di sana sini kita tampalkan istilah insaniah, ulul albab, syumul, kurikulum bersepadu dan nilai murni dan sebagainya sebagai memenuhi hasrat ‘Islamnya’ pendidikan kita.
(8) Hakikatnya, pendidikan kita masih kukuh warisan Inggeris. Kerangka ilmu kolonial masih menjajahi teras ilmu pendidikan kita. Displin ilmu psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan, perancangan kurikukum, amalan penilaian, ilmu pedagogi dan amalan pentadbiran pendidikan kita tekal patuh berteorikan pemikiran pendidikan barat. Kita sudah selesa dan mahu kekal seperti itu.
(9) Misalnya, kita lebih yakin akan peri pentingnya bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dan Bahasa dunia yang lain (Mandarin, Arab atau Sepanyol yang mempunyai penutur lebih ramai berbanding bahasa Inggeris)
(10) Tanpa kita sedar, istilah ‘pendidikan Islam’ telah kita sempitkan kepada pendidikan agama Islam semata mata, juga hanya dirujuk berkaitan ilmu ibadah. Sudah tidak lagi merujuk kepada bidang ilmu pendidikan yg lebih besar dan luas. Jauh sekali mempunyai metodologi seperti yang dicadangkan oleh Ibnu Khadun dan pemikir Islam yang lain.
Misalnya, Prof Syed Naquib Al Attas sendiri sangat menekankan soal perlunya proses Islamisasi ilmu dilaksanakan.
(11) Untuk kembali menjiwai ilmu pendidikan Islam yang sebenar (bukan sekadar ilmu fardu Ain), kita akan terpaksa mengambil puluhan tahun lagi. Rasanya tidak termampu dilakukan dengan masa yang singkat. Malah masyarakat Islam di negara ini pun sudah selesa dengan ilmu pendidikan warisan kolonial.
(12) Hari ini, ramai antara pemikir dan cerdik pandai pendidikan Islam yang sudah tidak dapat membayangkan apalagi mahu melaksanakan konsep pendidikan Islam yang menyeluruh. Mereka juga nampaknya ‘terperangkap’ dengan konsep pendidikan Islam yang diperkenalkan oleh orientalis. Pendidikan Islam sudah menjadi hanya salah satu mata pelajaran di sekolah sahaja. Itu pun statusnya tidak ‘setaraf’ mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Jika itu pun tak mampu dirombak, apa lagi untuk mengharapkan mereka mahu mencabar tradisi penjajahan ilmu ini. Jangan haraplah…
— ANUAR Ahmad, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.
Perkasa kan semula tulisan jawi sebagai langkah permulaan secara menerbitkan artikel dan buku di pendidikan tinggi dan jabatan ugama umpamanya. Saranan untuk muda mudi buat blog2 dalam jawi.