Home Sukan Stewart gandingan terbaik saya – Razman

Stewart gandingan terbaik saya – Razman

Pemain Selangor, Sean Eugene (kiri) menahan bola sambil cuba dihalang pemain Melaka United, Razman Roslan pada perlawanan Liga Super Malaysia diantara pasukan Selangor menentang pasukan Melaka United di Stadium Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan berpengalaman Razman Roslan, memilih bekas rakan sepasukannya di Pahang, Damion Stewart sebagai rakan gandingan terbaik sejak dia mula beraksi di Liga Malaysia pada 2005.

Jelas Razman yang pernah bersama Damion dari musim 2013 hingga 2015 mengakui Damion adalah seorang pemain yang ada naluri semulajadi selaku pertahanan tengah selain bijak menggunakan kekuatan fizikal yang dimiliki.

Justeru selaku rakan segandingan, Razman tidak nafikan situasi itu banyak meringankan bebanannya di bahagian pertahanan sekali gus menjadi salah satu pemacu kejayaan Pahang mencipta beberapa kejuaraan.

“Damion bagi saya adalah pertahanan terbaik yang saya pernah bermain bersama dan banyak memori manis bersamanya sepanjang tiga musim di Pahang.

“Masa Damion mula datang dulu, jujur saya tidak nampak dia seperti seorang pemain bola sepak seperti kebiasaan kerana melihatkan fizikalnya, dia nampak begitu keras.

“Namun, apabila dia turun bermain, baharu saya nampak keunikan dimiliki Damion kerana dia bukan jenis pemain yang terlalu banyak menggunakan tenaga sebaliknya tahu masa sesuai merampas atau menghalang bola di kaki pihak lawan.

“Jelas dia bijak menggunakan kekerasan serta kekuatan fizikal dimilikinya yang sentiasa buatkan mana-mana pemain lawan sukar untuk atasinya.

“Adanya dia jelas banyak membantu kami terutama di bahagian pertahanan ketika itu di Pahang sehingga banyak kejuaraan berjaya kami raih terutama Piala Malaysia pada 2013 dan 2014 selain Piala FA juga pada tahun 2014, “ katanya yang berusia 35 tahun.

Damion merupakan salah satu pemain pilihan Best XI Razman dalam formasi 3-5-2 yang turut menampilkan Khairul Anuar Baharom dan Shukor Adan di bahagian pertahanan serta Farizal Marlias di posisi penjaga gol.

Selain itu, Razman memilih Safiq Rahim bersama-sama Azammuddin Akil, Amri Yahyah, Badhri Radzi dan Gopi Rizqi membentuk gandingan di bahagian tengah sementara jentera serangan dikemudi Dickson Nwakaeme dan Bambang Pamungkas.

Dalam pada itu, Razman turut berkongsi pandangannya tentang Safiq yang dianggap antara pemain tengah terbaik dimiliki pada era ini di saingan Liga Malaysia.

Dia menjelaskan Safiq mempunyai kualiti teknikal yang tinggi dan serta mempunyai idea di luar kotak ketika mencipta serangan di dalam kawasan pihak lawan.

“Bagi saya, Safiq selain Amri dan Badhri berada di dalam satu garisan yang sama kerana mereka adalah antara pemain tengah terbaik pada zaman kemuncak prestasi masing-masing.

“Semua sudah tahu rasanya kualiti dimiliki oleh Safiq terutama dalam visi melakukan hantaran dan tekniknya bersama bola cukup baik malah sentiasa beri masalah besar kepada lawan.

“Tiap kali bermain dalam satu pasukan, memang kehadiran Safiq menyenangkan hati sepasukan kerana kita tahu kemampuannya dalam merencanakan serangan,” katanya. – MalaysiaGazette