LONDON – Mohamed Salah percaya kini adalah masa yang sesuai bagi Liverpool mengakhiri penantian 30 tahun untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah menjaringkan gol untuk menewaskan Crystal Palace 4-0 dalam aksi pada awal pagi Rabu.
Keputusan itu memerlukan the Kops hanya dua mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan EPL milik mereka.
Bagaimanapun ia hanya boleh berlaku sekiranya Manchester City gagal menewaskan Chelsea dalam aksi di Stamford Bridge malam ini.
“Dua mata lagi untuk menang gelaran EPL.
“Sejak saya sertai Liverpool, saya sentiasa idamkan untuk menang Piala EPL. Kelab ini tidak julang gelaran untuk jangka masa yang agak lama, lebih tiga dekad.
“Tahun lepas kami berpeluang menang tetapi Manchester City rampas gelaran itu.
“Kini tiba masanya untuk kami julang piala yang dinanti-nantikan itu,” kata Salah.
Gelaran ke-18 Liverpool hadir pada musim 1989-90 apabila Kenny Dalglish membawa pasukan kepada kemenangan itu.
Sejak itu, Liverpool gagal menjulang gelaran itu selama 30 tahun sebelum hampir mengesahkan musim lalu dengan 97 mata di bawah kendalian Jurgen Klopp.
Bagaimanapun ia dirampas Man City dengan perbezaan satu mata musim lalu.
Klopp masih tidak mahu mengesahkan kemenangan mereka kerana percaya pasukannya masih perlu mengharungi aksi penting menentang Manchester City 2 Julai ini.
“Kami masih perlu beraksi dalam tujuh perlawanan lagi dan saya perlu menonton permainan Man City menentang Chelsea malam ini kerana kami akan bertemu mereka minggu hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette