Home Politik Kempen PRK calon BN sudah meliputi 60 peratus

Kempen PRK calon BN sudah meliputi 60 peratus

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bergambar bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (kanan) pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Dewan Mempelas, Kampung Salong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2020.

CHINI – Mengakhiri kempen minggu pertama bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain berkata, kempen pilihan raya yang digerakkannya sudah meliputi 60 peratus.

Tambah beliau, kawasan yang sudah dikunjunginya meliputi kawasan perkampungan Orang Asli, kampung tradisi serta sekitar gugusan Felda Chini.

“Untuk tujuh hari akan datang kita akan menghabiskan saki baki peratusan kempen. Sekarang sudah 60 peratus dari segi berjumpa dengan pengundi dan kita akan cuba habiskan kepada semua pengundi di Chini.

“Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi muda dan orang lama untuk bersama beri kepercayaan kepada saya untuk calon BN,” katanya ketika berkempen bersama-sama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Mohd Sharim dan Najib turut membuat lawatan ke Pusat Media yang disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan (dua kanan) dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kiri) melaungkan kata-kata semangat pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Dewan Mempelas, Kampung Salong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2020.

Dalam pada itu, Mohd Sharim berkata, pengundi wanita terutamanya ibu tunggal tidak akan terpinggir.

Jelasnya, segala bantuan yang diterima akan terus dinikmati sekiranya beliau diangkat sebagai ADUN Chini yang baharu.

“Dulu masa allayarham Datuk Seri Abu Bakar banyak beri sumbangan kepada ibu miskin dan cara membantu mereka untuk berdikari dan meningkatkan pendapatan.

“Kita akan cuba untuk memastikan produk yang telah diusahakan oleh ibu tunggal jadikan satu produk untuk warga Chini.

“Pastinya kita akan cuba melihat daripada golongan wanita yang ada dan kita akan cuba melihat pada minat yang ada dan cuba untuk membantu melalui agensi yang ada di Pahang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengundi wanita di Chini berjumlah 10,721 orang yang meliputi 51 peratus daripada jumlah pengundi Chini manakala pengundi lelaki adalah pada 49 peratus dengan 10,267 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. – MalaysiaGazette