PUTRAJAYA – Kompleks Sukan Air Putrajaya bersedia menerima pengunjung selepas ia dibenarkan untuk beroperasi pada 1 Julai ini.
Pengarah Urusan Marina Putrajaya Sdn. Bhd., Zetty Abdul Razak berkata, pihaknya sudah melakukan proses sanitasi awal dan mula meletakkan tanda penjarakan sosial di lokasi premis terbabit seperti yang ditetap Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.
“Orang ramai tidak perlu khuatir penyebaran virus di dalam air kerana kita letakkan klorin yang sama fungsi seperti pembasmi kuman yang diyakini mampu membunuh sebarang virus di dalam air dengan nilai pH 7.2 sehingga 7.5”.
“Setiap sesi selama sejam akan dihadkan seramai 30 orang sahaja pengunjung yang dibenarkan masuk ke kawasan kolam renang yang bersaiz Olimpik.”
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kakitangan komplek sukan Air Putrajaya giat menjalankan proses pembersihan kolam dan melakukan proses sanitasi pada setiap peralatan.