Home Nasional Pelajar dibenar keluar negara tanpa mohon kebenaran awal JIM

Pelajar dibenar keluar negara tanpa mohon kebenaran awal JIM

Datuk Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian tinggi di luar negara, termasuk pelajar yang baru menerima tawaran atau ingin mengambil peperiksaan dibenarkan meninggalkan negara ini tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka adalah antara kategori rakyat Malaysia yang dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada jabatan itu mulai 24 Jun lalu.

“Mereka perlu menunjukkan pas pelajar / visa / pas jangka panjang / surat tawaran / surat arahan mengambil peperiksaan, serta dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai Imigresen di pintu masuk,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Khairul Dzaimee, kebenaran sama juga diberikan kepada warga Malaysia yang pulang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin keluar negara bagi yang bermastautin dengan taraf Penduduk Tetap atau memiliki Pas Jangka Panjang atau bekerja di luar negara.

Tambah beliau, dokumen pembuktian seperti Permit Kerja atau dokumen sokongan perlu dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen, di pintu keluar negara.

Ujarnya, warga negara ini yang berhasrat ke luar negara untuk menghadiri mesyuarat, seminar, pameran dan urusan kecemasan dan perniagaan perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk mendapatkan kelulusan.

Pemohonan berserta salinan pasport dan dokumen perlu dihantar  melalui e-mel ke alamat [email protected].

Sementara itu, JIM turut menyenaraikan warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada jabatan itu:

i) Pemastautin Tetap (PR) Malaysia

ii) Diplomat

iii) Suami / Isteri / Anak kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang (Suami/Isteri/Anak)

iv) Pas Penggajian (Kategori I)

v) Pas Residen – Talent (RPT)

vi) Pas Tanggungan kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen – Talent

vii) Pembantu Rumah Asing kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen – Talent

Khairul Dzaimee berkata, kebenaran yang diberikan tertakluk kepada status pas yang masih sah tempoh. – Bernama