Home Nasional Pengguna kini faham, puas hati penjelasan TNB

Pengguna kini faham, puas hati penjelasan TNB

Pekerja Tenaga Nasional Berhad melakukan kerja harian mereka melayani pelanggan di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini mula mengakui berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Tenaga Nasional Berhad berhubung cara pengiraan bil elektrik ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi rungutan segelintir pengguna ketika ini.

Rata-rata mereka mendapati TNB memiliki cara pengiraan bil tersebut sendiri selama tiga bulan lalu yang sebelum ini isu bil elektrik tinggi menjadi tular di media sosial.

Malah mereka juga memuji cara penyampaian yang mudah dan senang difahami oleh kakitangan kaunter selepas dapat menyemak kembali jumlah bil elektrik dengan pihak TNB.

Senario itu dapat dilihat selepas tinjauan MalaysiaGazette di Kedai Tenaga Wisma TNB di Kepong semalam.

Pekerja Tenaga Nasional Berhad melakukan kerja harian mereka melayani pelanggan di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.

Bagi seorang pesara, Ramli Nordin, 63, dia datang untuk mendapatkan penjelasan lebih mendalam mengapa bil elektrik pada bulan Jun lalu melebihi bulan-bulan yang lalu.

Jelas bekas kakitangan swasta, ini kerana dia berpendapat jumlah yang dikenakan agak tinggi melebihi anggaran jumlah bil sebelum ini.

“Bila saya datang sini, saya baru rasa puas hati kerana kakitangan TNB telah terang dengan jelas dan saya faham.

“Malah saya juga diberi cara penyelesaian dan telah membayar bil bulan Jun serta kakitangan juga memberi tahu TNB akan beri peratusan diskaun yang lebih pada bil bulan depan iaitu tambahan lapan  peratus,” katanya yang datang dari Selayang.

Temubual bersama pelanggan, Ramli Nordin di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.

Ramli yang datang bersama anaknya turut memuji layanan terbaik daripada kakitangan TNB yang datang kepada pengguna sebaik sahaja melangkah masuk ke wisma itu.

Malah katanya, dia berasa selamat kerana TNB turut mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan memeriksa suhu badan pengguna yang datang berurusan.

Seorang lagi pengguna, Joseph Mirandha, 63, pula berkata, dia menerima bil yang tinggi untuk tiga bulan dengan purata sebulan melebihi jumlah RM300 sedang sebelum ini jumlah bulanan tidak melebihi jumlah tersebut.

Dia yang mengusahakan bisnes kecil-kecilan berkata, ini kerana sepanjang PKP dia dan keluarga masih mengamalkan penggunaan elektrik yang sama sebelum PKP apabila hanya menggunakan penghawa dingin pada waktu malam selain barangan elektrik lain pada kadar penggunaan sama.

“Mula-mula terima bil memang terkejut kerana jumlahnya agak tinggi malah sepanjang PKP lalu, bisnes yang pula tiada keuntungan.

“Tetapi bila saya datang sini, tiada apa-apa sebenarnya malah layanan kakitangan TNB sangat profesional kerana penjelasan yang jelas dan saya bersetuju.

“Cuma saya berharap dapat membayar bil secara ansuran dan telah membayar dua bulan bil yang lalu dengan kad debit. Sekurang-sekurang mereka beri penjelasan dan memahami kesusahan yang dialami oleh saya,” katanya yang datang dari Kepong.

Temubual bersama pelanggan, Joseph Mirandha di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat kuari, Yeap Kon Wee menasihati pengguna lain agar datang berurusan di kaunter TNB untuk mendapat penjelasan yang mendalam.

Jelasnya, selepas mendengar penerangan yang teliti daripada kakitangan TNB, dia yakin semua penguna akhirnya akan memahami bagaimana cara pengiraan penggunaan bil elektrik ketika PKP sepanjang tiga bulan lalu.

“Waktu dapat bil saya tidak terkejut sangat cuma saya ingin tahu apa yang perlu dibayar dan apa yang dicaj. Pengalaman berurusan di sini pun bagus kerana dari pintu masuk SOP semua dipatuhi.

“Semoga TNB terus mengekalkan perkhidmatan yang terbaik dan sebagai rakyat Malaysia, jika tidak faham tentang pengiraan jumlah bil elektrik, boleh datang ke Kedai Tenaga untuk bertanya sampai faham,” katanya.

Temubual bersama pelanggan, Yeap Kon Wee di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.

Sementara itu, Kedai Tenaga di Wisma Kepong itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 4 petang manakala Kiosk Pembayaran setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Bagi tempoh 15 hari bekerja dari 1 hingga 22 Jun lalu, jumlah pelanggan datang ke Kedai Tenaga itu adalah 11,298 pelanggan dengan purata harian yang dicatatkan seramai 753 sehari

Pada masa sama, jumlah pelanggan yang membuat pertanyaan berkaitan pengiraan/pelarasan bil di Kedai Tenaga Kepong pada tempoh sama adalah 2,204 orang dengan purata harian adalah 147 sehari. – MalaysiaGazette

Pekerja Tenaga Nasional Berhad melakukan kerja harian mereka melayani pelanggan di Wisma TNB Kepong, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2020.