Home Nasional Penggunaan terowong nyah kuman di sekolah akan beri kesan buruk

Penggunaan terowong nyah kuman di sekolah akan beri kesan buruk

Pengunjung mencuba terowong penyemburan ‘Virus Buster Nanospray’ di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang penggunaan terowong disinfeksi atau nyah kuman di sekolah-sekolah kerana akan memberi kesan yang buruk kepada pengguna.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM telahpun menyatakan pendirian awal mengenai keselamatan penggunaan terowong itu sejak awal lagi.

“KKM sudah keluarkan kenyataan awal apabila hasil kajian terhadap terowong disinfeksi itu mendapati tiada bukti klinikal yang mencadangkan keberkesanannya dan mampu mencegah jangkitan Covid-19 pada tubuh seseorang.

“Terowong tidak akan menyahkuman kerana virus Covid-19 sebenarnya ada dalam tubuh individu dan bukannya pada permukaan atas badan.

“Lagipun pendedahan virus pada permukaan atas badan hanyalah bersifat sementara atau bertempoh singkat,” katanya dalam sidang media di kementeriannya petang tadi.

Paling membimbangkan ialah bahan kimia yang digunakan dalam terowong nyahkuman berisiko tersebar dan berisiko mengakibatkan kegatalan kulit badan dan mata individu yang menggunakan terowong berkenaan.

“Ia juga boleh memburukkan keadaan apabila seseorang individu yang melalui terowong itu mempunyai penyakit asthma.

“Oleh yang demikian, KKM tak menggalakkan penggunaan terowong nyahkuman.Itu pendirian KKM dalam hal ini,” katanya.-MalaysiaGazette