Home Utama Tiada keperluan adakan PRU dalam masa terdekat – Annuar

Tiada keperluan adakan PRU dalam masa terdekat – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Seri Annuar Musa, melihat pameran lukisan ketika hadir bagi merasmikan Kartun “Kartunis VS Covid-19” di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat kerana kerajaan perlu memberikan fokus penyelesaian masalah yang hadapi rakyat terlebih dahulu.

Itu pandangan Setiausaha Kerja UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika ditanya mengenai seruan Timbalan Pesiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggesa Perikatan Nasional (PN) membubarkan Parlimen.

Menurut Annuar, kenyataan Mohamad atau lebih dikenali Tok Mad adalah pandangan peribadinya dan bukannya pendirian parti.

“Kita telah mengulangi sokongan kita pada Perdana Menteri. Kita sebahagian dari gabungan Perikatan Nasional dan pendirian kita kerajaan harus beri tumpuan pada masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kartun di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, kerajaan yang ada pada hari ini berfungsi dengan baik dan tidak mempunyai masalah yang membolehkan negara tidak stabil.

Katanya, sokongan di kalangan rakyat bertambah baik dan lebih banyak anggota Parlimen telah menyertai PN.

Annuar berkata, rakyat sudah merasa bosan kerana dimomokkan dengan senario politik tanpa henti yang berlaku hari ini.

“Mereka bosan dengan berpolitik tanpa henti ketika mereka sendiri menghadapi berbagai masalah seperti pengangguran, masalah perumahan dan kehilangan tempat tinggal,” ujarnya.

Semalam, Mohamad menggesa PN membubarkan Parlimen kerana berpandangan kedudukan politik Malaysia dikatakan “sangat tidak stabil”, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak Merdeka.

Menurut Mohamad, keadaan sekarang sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang yang kritikal, termasuklah membentangkan belanjawan, sedangkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi. – MalaysiaGazette