Home Utama Tolong kasihan rakyat, hentikan kekalutan politik – MTUC

Tolong kasihan rakyat, hentikan kekalutan politik – MTUC

J Solomon

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengingatkan kuasa-kuasa utama politik negara supaya tidak mengorbankan kepentingan rakyat pada saat-saat kritikal ini dan segera menghentikan kekalutan politik negara.

Sambil menyatakan kebimbangan dengan senario politik tempatan, MTUC mahu pemimpin-pemimpin politik mempunyai pertimbangan sewajarnya dan rasa belas kasihan terhadap nasib rakyat dan 15 juta pekerja di negara ini.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, potensi Malaysia untuk bangkit semula dan memulihkan ekonomi dalam pasca Covid-19 sekarang dikekang oleh bahang politik, sekali gus menambah kegelisahan rakyat, khususnya warga pekerja.

”Malaysia kini dicengkam dengan percaturan politik seorang individu untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga dan seorang lagi yang mahu menerajui negara untuk pertama kali serta penyandang jawatan itu yang sememangnya kali pertama menjadi Perdana Menteri.

”Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, MTUC hanya mampu berharap supaya kuasa-kuasa utama politik tempatan ini tidak akan mengorbankan kepentingan rakyat pada waktu-waktu kritikal ini.

”Mereka sepatutnya menyedari bahawa sebarang keputusan politik serta tindakan mereka akan memberi impak ke atas rakyat biasa, termasuk seramai 15 juta pekerja yang diwakili oleh MTUC,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Fitch Solutions telah membentangkan unjuran suram bahawa selagi ketidakstabilan politik Malaysia tidak pulih, pertumbuhan ekonomi Malaysia berkemungkinan besar menguncup kepada separuh atau 3.4% dalam tempoh 10 tahun
akan datang berbanding 6.4 peratus pada dekad sebelum ini.

Agensi penarafan itu turut membayangkan potensi pertumbuhan Malaysia menerusi perindustrian peringkat rendah telah terhakis dan negara ini perlu segera meningkatkan ekonomi bagi mengelak apa dikenali sebagai "perangkap pendapatan pertengahan."

Laporan Fitch yang dikeluarkan semalam turut memaparkan risiko yang amat realistik dan mengambil kira keadaan semasa negara berbanding unjuran optimistik Bank Dunia yang menyatakan Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi jika dapat melaksanakan pembaharuan penting.

Walau apa pun, sudah tentu unjuran Bank Dunia itu mengambil kira kestabilan politik Malaysia.

Ia selari dengan pandangan Fitch Solutions lagi bahawa keadaan di negara ini mungkin menjadi lebih buruk sekiranya ahli politik terus menjurus ke arah populisme demi mengukuhkan kedudukan masing-masing yang hanya memburukkan lagi persekitaran perniagaan.

“Oleh itu, MTUC menggesa kalangan ahli politik kita, tidak kiralah kecenderungan masing-masing, untuk mengutamakan rasa pertimbangan sewajarnya, keinginan, belas kasihan serta empati terhadap rakyat sebelum mengambil sebarang keputusan, pada akhirnya rakyat dapat mengatasi badai ekonomi yang dibawa oleh Covid-19.

“Ahli politik di kedua-dua belah tidak harus memandang ringan kemungkinan ini. Perbalahan politik di negara ini tidak harus berkesudahan dengan ekonomi menjadi tidak menentu dan menambah lagi permasalahan yang ditanggung oleh para pekerja.

”Sehubungan itu, kita menggesa ahli-ahli politik ini agar tidak mengenepikan laporan Fitch mahu pun Bank Dunia yang dibuat berdasarkan keperluan terhadap kestabilan politik bagi membolehkan pelaksanaan pembaharuan penting demi meningkatkan pekerja Malaysia yang majoritinya masih dibelenggu kemiskinan,” ujarnya. – MalaysiaGazette