KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia disahkan akibat rabies di Sibu Sarawak pada 23 Jun lalu.
Pesakit itu meninggal dunia pada jam 7 malam semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Hospital Sibu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu telah digigit oleh seekor anjing milik saudaranya di betis kanannya semasa mengunjungi rumah saudaranya di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei 2020.
Luka tersebut telah dicuci dengan menggunakan air dan sabun selama 15 minit dan telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
Namun beliau tidak hadir semula ke fasiliti tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin anti rabies.
”Beliau mula mengalami lemah kaki dan sembelit pada 16 Jun 2020. Pada 19 Jun 2020, beliau telah dirujuk ke Hospital Sibu, Sarawak untuk rawatan lanjut dan telah dimasukkan ke wad pada hari yang sama.
”Pesakit telah meninggal dunia pada 23 Jun 2020 dengan penyebab kematian adalah rabies. Beliau telah disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam,” katanya.
Dengan pengesahan ini, sebanyak dua kes rabies direkodkan pada tahun ini dan jumlah kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak penyakit ini diisytiharkan pada 1 Julai 2017 adalah 24 kes termasuk 23 kematian. – MalaysiaGazette
Adakah anjing2 yang membawa kuman rabies sudah dimatikan? Jangan pula tertular virus rabies kepada binatang lain termasuk kelawar.