Home Utama 1,000 lot niaga bagi golongan muda dan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19

1,000 lot niaga bagi golongan muda dan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan 1,000 lot perniagaan baharu seperti kios dan trak makanan kepada golongan muda dan mereka yang hilang pekerjaan akibat wabak COVID-19, mulai bulan hadapan.

Menteri berkenaan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua lot perniagaan baharu itu akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di ibu negara dan Putrajaya dengan bayaran sewa bulanan yang berpatutan.

Permohonan secara dalam talian akan dibuka kepada pemohon mulai 1 Julai dan berharap  golongan muda dan mereka yang hilang pekerjaan supaya membuat permohonan, dan kementerian akan bertindak tegas memastikan tiada pihak mengambil kesempatan termasuk menyewakannya kepada warga asing, kata beliau.

“Buat permulaan ini, 400 kios kecil dan besar akan ditempatkan di kawasan strategik seperti tempat pejalan kaki dan tumpuan pelancong di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bintang Walk, Little India dan sekitar Bangunan MARA dan termasuk perhentian bas di ibu negara dan Putrajaya.

Selain itu, 400 lot lagi adalah untuk trak makanan di lokasi yang kita rasakan sesuai manakala 200 lagi adalah lot di dalam pusat membeli belah seperti di Berjaya Times Square dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat perusahaan kuih akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, Peringat, di sini, hari ini.

Annuar berkata, sebahagian kios berkenaan telah siap disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain peniaga boleh membina kios sendiri mengikut saiz dan reka bentuk yang telah dipersetujui.

“Pembinaan kios kali ini mesti cantik sebagai tarikan kepada pelancong dan kita mahu ia tidak menghalang lalu lintas, tidak menimbulkan masalah kepada peniaga lain dan paling penting adalah aspek kebersihan yang mesti diutamakan,” katanya.

Annuar berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam mendapatkan modal perniagaan dan latihan-latihan berkaitan yang diperlukan.

“Kementerian akan mempermudahkan usaha mereka ini dan berharap ia mampu mengubah nasib mereka ketika ini,” katanya. – Bernama