Home Nasional Tujuh lelaki direman disyaki culik dan bunuh pemaju hartanah

Tujuh lelaki direman disyaki culik dan bunuh pemaju hartanah

SAC Fadzil Ahmat
SAC Datuk Fadzil Ahmat

KUALA LUMPUR – Tujuh suspek lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan dan direman untuk siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam penculikan dan kematian seorang ahli perniagaan berusia 55 tahun bergelar Datuk Seri hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, mayat mangsa telah ditemui di dalam belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang, Hulu Selangor hari ini.

Katanya,kesemua suspek termasuk dalang utama yang dikenali mangsa berusia antara 30-an hingga 50-an itu berjaya dicekup dalam beberapa serbuan dilakukan pasukan polis Selangor sejak jam 11 pagi semalam.

“Hasil siasat polis ke atas salah seorang suspek berkenaan kes penculikan itu berjaya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya pada jam 9 pagi tadi.

“Mangsa dikenalpasti berumur 55 tahun dan diculik suspek ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

“Kehilangan pemaju hartanah itu hanya disedari keluarganya pada waktu tengah hari kejadian apabila menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta),” katanya selepas siasatan di sebuah rumah di Taman Kosaso Rawang yang dipercayai dijadikan tempat mangsa disembunyikan oleh suspek.

Fadzil menambah keluarga mangsa segera melaporkan kejadian kepada polis sejurus selepas menerima panggilan menuntut wang tebusan mangsa diculik.

Menurut beliau, hasil soal siasat polis ke atas suspek mendapati mangsa culik telah meninggal dunia selepas tiga atau empat hari diculik sebelum mereka mencampak mayatnya di belukar di Batu 27.

“Mayat telah ditemui polis dalam keadaan reput dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat forensik hospital bagi memastikan anggaran tarikh dan punca sebenar kematian mangsa tersebut,” tegasnya sambil mengesahkan satu kenyataan media berkenaan kes akan dikeluarkan esok.

Tegasnya, lima daripada tujuh suspek berkenaan direman bagi tempoh antara lima hingga tujuh hari untuk disiasat lanjut manakala dua lagi suspek masih dalam proses permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,” ujar beliau. – MalaysiaGazette