KUALA LUMPUR – Pentas ikonik Istana Budaya (IB) akan dibuka 1 Julai ini untuk pementasan selepas ditutup beberapa bulan lalu ekoran pandemik Covid-19.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, kementerian itu kini sedang merangka strategi bersesuaian berhubung pelaksanaan operasi di IB selepas kerajaan membenarkan ia dibuka semula.
Menurutnya, perkara utama yang akan dipraktikkan adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seperti pengamalan penjarakan sosial dan perkara-perkara yang sepatutnya.
“Kita kena akui IB ini adalah tempat untuk menonjolkan acara-acara yang bertaraf dunia.
“Tapi disebabkan pandemik Covid-19, kita kena ambil langkah berjaga-jaga. Mungkin ia tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan (Pentadbiran) kepada badan bukan kerajaan (BBK) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sini hari ini.
Mengulas lanjut Noor Zari berkata, penyewaan untuk tempoh enam bulan di IB tidak akan dikenakan bayaran, malah, program yang diadakan mungkin akan dibuat secara biasa tidak sehebat seperti sebelum ini.
Perkara itu katanya,disebabkan kos penggunaan perkakasan yang tinggi di IB, sebagaimana digunakan dalam pementasan-pementasan ketika sebelum pandemik Covid-19 berlaku.
Tambah beliau, setakat ini pihaknya mengikut garis panduan yang disarankan oleh Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk digunakan bagi pengoperasian di IB.
Terdahulu, Noor Zari yang mewakili Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan berjumlah RM318,000 kepada 37 BBK yang terjejas operasi pentadbirannya akibat pandemik Covid-19.
Kesemua BBK itu merupakan pihak yang banyak membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mengadakan promosi dan sebagainya.
Pemberian bantuan itu adalah bagi membolehkan BBK memulakan kembali aktiviti mereka semula, selain pemulihan selepas terkesan dengan penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette