KUALA LUMPUR- Kira-kira 300 pekerja Media Prima Bhd. menerima notis pemberhentian kerja hari ini.
Konglomerat media itu dalam satu kenyataan berkata, tarikh akhir perkhimatan kakitangan yang terlibat adalah pada 31 Julai 2020.
Tambahnya, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dengan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja susulan pengumuman syarikat untuk melaksanakan fasa seterusnya dalam proses transformasi seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lalu.
Katanya, perubahan yang mengganggu sektor media serta keadaan ekonomi yang mencabar serta ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 menyebabkan syarikat tersebut terpaksa mempercepatkan pelaksanaan proses transformasi.
“Ianya merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.
“Inisiatif-inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul akibat pertindihan kerja.
“Transformasi perniagaan ini bertujuan untuk menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka sederhana dan jangka masa panjang,” katanya.
Kakitangan yang terjejas akan menerima pampasan yang adil seperti termaktub dalam undang-undang dan perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing serta surat kontrak.
Pada Mac lalu, kira-kira 500 pekerja telah diberhentikan oleh syarikat tersebut. – MalaysiaGazette