Home Politik Salleh batalkan permohonan sertai PKR

Salleh batalkan permohonan sertai PKR

Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh berkata, keputusan itu dibuat pada April lepas, dan menurutnya, dengan pembatalan itu beliau kekal tidak berparti sejak keluar dari UMNO pada 2018.

“Sejak kebelakangan ini ramai bertanya kepada saya mengenai pendirian politik saya di sebalik apa yang berlaku dalam lanskap politik negara termasuk di Sabah.

“Pada Mac 2020, saya telah meminta permohonan saya ditangguhkan dahulu agar saya dapat bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju kami di Sabah.

“Kemudian pada April 2020, saya telah meminta agar permohonan saya menyertai PKR dibatalkan. Dengan pembatalan permohonan itu, saya kekal tidak berparti sejak saya keluar dari UMNO pada Disember 2018,” kata Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau sallehsaid.com hari ini.

Sebelum ini, Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lepas iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah keluar meninggalkan parti.

Salleh berkata, beliau memohon menyertai PKR pada tahun lepas kerana ketika itu PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, dan menurutnya, Sabah harus membina hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun serta berdaya saing.

“Saya memilihnya (pada waktu itu) demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Salleh, yang pernah menjadi menteri Persekutuan, berkata apapun keputusan diambilnya berhubung parti pada masa ini adalah berdasarkan pertimbangan teliti selain mengambil kira pandangan rakan seperjuangan dan akar umbi. – Bernama

4 Komen

  1. Org camni patut campak dlm laut ja. Tak layak buat kawan. Nak buat pemimpin parti? Lagi laaa tak layak. Hat mana boleh bg dia kuasa dan duit, hat tu dia p menempek. Dasar parasit!

Comments are closed.