Home Nasional Sembilan pengundi awal sudah mengundi

Sembilan pengundi awal sudah mengundi

Seorang anggota polis mengundi pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2020

CHINI – Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Zaliza Zulkipli memaklumkan hampir separuh daripada 18 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pagi ini.

Tambah Zaliza, proses undi awal hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

“Proses pengundian awal mula sejak 8 pagi. Dan pada jam 9.30 pagi tadi 50 peratus anggota polis dan pesara telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Sepanjang proses PRK N23 berlangsung, semuanya berjalan lancar dan pada hari ini kita lihat proses mengundi mengikut SOP yang baharu ekoran pendemik Covid-19,” katanya kepada media, hari ini.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan adalah mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung serta menggunakan pencuci pembasmi kuman sebelum dibenarkan mengundi.

Malah kesemua mereka diwajibkan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi dan diberikan kertas undi awal.

Balai Polis Chini merupakan satu-satunya pusat pengundian yang dibuka untuk pengundian awal.

Proses mengundi bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengahari.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin. – MalaysiaGazette