Home Nasional 113,300 pengguna portal MYFutureJobs cari pekerjaan sejak Januari lalu

113,300 pengguna portal MYFutureJobs cari pekerjaan sejak Januari lalu

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Portal, MYFutureJobs mencatatkan purata harian 3,088 pencari pekerjaan dan 2,692 pekerjaan kosong untuk tempoh antara 15 hingga 30 Jun lalu.

Berikutan itu portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu merekodkan jumlah terkumpul pencari kerja seramai 113,300 orang serta hampir 95,4000 peluang pekerjaan ditawarkan sejak Januari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menasihatkan majikan yang mahukan pekerja berbakat menggunakan platform yang disediakan kerajaan itu bagi mendapat manfaat daripada insentif menggaji pekerja tempatan manakala pencari pekerjaan pula mendapat pekerjaaan yang sesuai.

“Inisiatif kerajaan ini disasarkan untuk meningkatkan pengwujudan pekerjaan dan mengurangkan kadar penggangguran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, insentif itu meliputi bantuan kewangan untuk majikan menggaji lepasan sekolah, graduan, mereka yang mengganggur, pekerja yang diberhentikan dan pelatih.

Tambah beliau, untuk pekerja yang perlu dipindahkan bagi menerima tawaran kerja di bawah PenjanaKerjaya, mereka akan disediakan dengan bantuan kewangan antara RM600 hingga RM1,000.

Bagi maklumat lanjut, pencari kerja dan majikan boleh mengunjungi pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau menghubungi talian 1-300228000 atau 03-8091 5300. – MalaysiaGazette