PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenal pasti identiti dan alamat 1,400 individu yang menjalani kuarantin di rumah tetapi gagal melaksanakan saringan kedua Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selepas ini KKM akan menjalankan operasi untuk mengesan individu terbabit.
Jelasnya, pihaknya telah mengingatkan semua individu yang menjalankan kuarantin di rumah supaya membuat saringan Covid-19 kali kedua pada hari ke-13 dan mengemukakan keputusan ujian di Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan pada hari ke-14.
Saringan pertama dibuat sebaik sahaja individu tersebut melalui pintu masuk negara. Sekiranya negatif mereka diwajibkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan jika positif mereka akan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, katanya.
“Kita tahu di mana mereka berada.
“Kami ada mengingatkan mereka supaya hadir ke klinik kesihatan atau klinik swasta untuk menjalani saringan pada hari ke-13.
“Kesemua syarat kuarantin di rumah telah diberitahu kepada mereka tetapi kepatuhan adalah perkara yang paling penting,” katanya semasa sidang media hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya mengarahkan pihak polis memburu individu-individu yang gagal melakukan saringan kedua selepas menjalani kuarantin di rumah.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai virus selsema babi G4 yang baru sahaja dikesan di China, Noor Hisham berkata, Jabatan Veterinar akan membuat kenyataan tidak lama lagi.
Namun begitu, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan penjagaan kebersihan dan SOP seperti langkah pembendungan wabak Covid-19.
Katanya, penjagaan kebersihan dan SOP sedemikian adalah langkah terbaik dalam memutuskan rantaian penyakit berjangkit.
Malah Malaysia katanya, mencatatkan penurunan sebanyak 60 peratus kes penyakit berjangkit seperti cacar, H1N1 dan sebagainya. – MalaysiaGazette
Kuarantin rumah: Polis buru 1,400 individu gagal buat saringan kedua