PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan premis-premis yang boleh dijadikan taska dan tabika di Putrajaya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, perkara itu difikirkan perlu bagi membantu ibu bapa yang berkerja untuk menghantar anak-anak mereka di pusat jagaan.
Bagaimanapun, keutamaan akan dilihat menerusi permintaan ibu bapa khususnya yang berada dalam kelompok M40 dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mendapat permintaan yang tinggi.
“Kita sedang memikirkan cara yang kreatif supaya mereka-mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan B40 berada atas sikit tidak layak boleh menghantar anak ke taska .
“Mereka ini hendak bertugas dan bila tambah sedikit (gaji) tidak layak. Jadi kita fikir nak tambah premis-premis asuhan dan taska ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi menyaksikan hari pertama pembukaan Taska dan Tabika di Taska Kemas Bunga Raya, Presint 11 hari ini.
Hadir sama pada sesi lawatan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Jailanai Mohd Yunus.
Ketika ditanya mengenai bagaimana hendak memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di taska dipatuhi, Latiff berkata, kanak-kanak yang berada taska dididik mengenai perkara itu menerusi kaedah bermain.
Katanya, mereka tidak boleh ditekankan secara akademik kerana pada peringkat usia sedemikian kaedah yang santai wajar diguna pakai.
“Biasanya mereka mempunyai ego masing-masing. Kalau bergaduh jangan kita campur, nanti dalam setengah jam dia akan berbaik semula.
“Saya fikir guru-guru sangat bijak menguruskan anak-anak ini hari-hari. Kalau kita hanya mengurus beberapa jam tapi mereka ini mengurus jumlah yang ramai.
“SOP ni bermula di rumah dan lama kelamaan ia akan jadi satu perkara yang biasanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Eloklah segera ditambah2, ianya juga dapat memberi peluang2 pekerjaan!