KUALA LUMPUR – Tidak sampai tiga tahun melayari rumah tangga, pasangan Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran disahkan bercerai.
Ia sekali gus menjawab teka-teki status hubungan mereka sejak hujung tahun lalu.
Laudya merupakan pelakon Indonesia mengesahkan perceraian mereka menerusi program InsertLive Trans TV.
Wanita berusia 32 tahun itu berkata, keputusan untuk berpisah dipersetujui secara baik oleh kedua-dua belah pihak.
“Berkaitan laporan berita ketika ini tentang rumah tangga saya, saya ingin menjelaskan bahawa kami sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baik.
“Sudah berbagai upaya kami lakukan dan ini adalah takdir Allah SWT, rumah tangga kami hanya sampai di sini dan sudah segala proses kami lalui, saat ini semuanya sudah selesai,” ujarnya.
Engku Emran, 45, dan Laudya berkahwin pada 8 September 2017 di Kuala Lumpur.
Bintang filem Syurga Yang Tak Dirindukan itu reda dan menganggap apa yang terjadi sebagai sebuah pelajaran dalam kehidupannya.
Laudya juga percaya, apa yang berlaku dalam kehidupannya itu mempunyai hikmah tersembunyi.
“Dua tahun beliau menjadi suami saya, banyak sekali kebaikan, hikmah dan pembelajaran yang saya dapat.
“Insya Allah hikmah, pembelajaran, semua yang saya dapat ini boleh saya jadikan bekal, boleh saya simpan untuk menjadi wanita yang Insyaallah jauh lebih baik lagi,” jelasnya.
Laudya berharap penjelasan yang dibuat itu menjawab segala persoalan yang sering timbul berkaitan hubungan tersebut.
Laudya dan Engku Emran berkahwin pada 8 September 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Hubungan pasangan ini menjadi perhatian sejak Oktober tahun lalu apabila Laudya membuang semua foto bersama suaminya di laman sosial Instagram.
Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata manakala Engku Emran mempunyai seorang anak perempuan Engku Aleesya hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Erra Fazira. – MalaysiaGazette