Home Nasional Lebih 60 asnaf yang menyewa rumah bakal jadi pemilik

Lebih 60 asnaf yang menyewa rumah bakal jadi pemilik

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Lebih 60 asnaf akan memiliki rumah sendiri pada tahun ini, menerusi program Baiti Jannati 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua pemilik telah dikenalpasti berdasarkan kelayakan yang dinilai oleh kementeriannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Berdasarkan pemerhatian kita, mereka menghadapi masalah ketidakmampuan membayar sewa dan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk mereka membeli sendiri rumah.

“Kementerian Wilayah Persekutuan bersama MAIWP membuat pemilihan menggunakan kriteria yang disahkan MAIWP sebagai asnaf yakni yang layak menerima wang daripada zakat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Annuar ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah menyerahkan surat pemilikan rumah kepada penerima Baiti Jannati 2020 yang pertama kepada ibu tunggal, Siti Zainah Mohd Zain.

Program Baiti Jannati adalah kerjasama strategik di antara DBKL, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membantu penyewa miskin tegar yang tinggal di PPR dan perumahan awam untuk memiliki kediaman sendiri.

Menyedari penerima tidak mampu daripada segi kewangan, semua rumah yang dipilih akan dibaik pulih terlebih dahulu demi keselesaan penghuni.

Yayasan Wilayah Persekutuan juga, tambah Annuar, akan menanggung kos membeli perabot asas yang diperlukan.

Lebih istimewa beliau turut memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyampaikan sendiri surat pemilikan rumah ke tangan penerima selepas proses baik pulih selesai pada Ogos ini.

“Untuk tujuan itu saya telah menyembahkan perkara itu kepada Seri Paduka Baginda YDPA, baginda amat gembira sekali dengan apa yang kita lakukan.

“YDPA telah berkenan untuk berangkat pada satu tarikh membuat ubah suai unit-unit rumah yang kita pilih dan dijangka pada Ogos kalau kita dapat siapkan, mereka ini akan menerima surat milik secara langsung daripada YDPA,” jelas beliau.

Annuar berharap program itu akan membantu golongan daif bukan hanya yang beragama Islam malah bukan Muslim juga turut menjadi sasaran bantuan.

“Sementara itu kita akan terus membuat pemantauan terhadap golongan yang tidak mampu dan memilih memberi rumah percuma kepada mereka yang benar berkelayakan.

“Kita harap melalui program ini dapat membantu kelompok yang paling daif dan untuk tujuan ini bukan sahaja penerima Islam, kita juga sedang mengenal pasti mereka yang bukan Islam melalui kaedah dana-dana lain selain dana zakat,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bagus Menteri Wilayah Persekutuan yang baru ni. Benar2 ingin membantu rakyat.

    Membandingkan beliau dengan menteri terdahulu bagaikan membandingkan langit dengan bumi!

Comments are closed.