KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan menengah Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4, kelas peralihan dan sekolah rendah untuk Tahun 5 dan 6 akan dibuka pada 15 Julai ini selepas empat bulan ditutup akibat Covid-19.
Manakala bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada 22 Julai.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tarikh pembukaan semula sekolah itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan.
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang ditawarkan ke Tingkatan 6, Semester 1 Tahun 2020 pula boleh menyemak keputusan mulai hari ini melalui portal KPM dan murid-murid mula mendaftar pada 15 Julai.
Menurut beliau, pembukaan sekolah itu akan dilaksanakan menerusi tiga model untuk dijadikan panduan kepada pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi sekolah masing-masing.
Model pertama adalah Model Satu Sesi untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi
bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.
Model kedua adalah Model Dua Sesi bagi sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
Dan, model ketiga adalah Model Penggiliran untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.
Menurut Radzi, bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari manakala kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.
”Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid. Contohnya, jika sekolah
mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk
menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagi model penggiliran Tahun 1 hingga Tahun 6, murid-murid boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap yang akan ditentukan oleh sekolah.
Untuk model penggiliran, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari
persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.
“Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum
sekolah dibuka semula sepenuhnya,” tambah beliau.
Pembukaan semula sekolah berasrama pula dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing kerana asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.
Manakala, asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama.
”Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat. Kami telah meneliti perkara ini bersama-sama KKM. Mengikut saranan KKM, pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja.
”Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.
”Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun 2020. T
Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah, katanya.
Tambahnya,semua institusi pendidikan swasta termasuk pusat tuisyen, pusat bahasa, pusat perkembangan dan sebagainya yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh dibuka semula pada 15 Julai ini. – MalaysiaGazette
Anak Melayu raih pengiktirafan di Universiti Michigan, Shuhaib peroleh CGPA 4.00 dalam bidang Master of Engineering!
Kadang kala cerita2 kejayaan anak2 Melayu perlu juga dihebohkan dan diulang tayang buat INSPIRASI kepada para pelajar!
Siapa kata anak2 Melayu tidak boleh berjaya?