KUALA LUMPUR – Penantian selama tiga tahun peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk mendengar lagu baharu penghibur itu bakal terubat apabila albumnya akan dilancarkan pada Jumaat ini.
Album ke-18 yang berjudul ManifestaSITI2020 itu akan muncul di pasaran secara digital dan fizikal.
Sebagai tarikan, album itu boleh dibeli melalui pra-tempahan bermula kelmarin.
Menerusi Instagram miliknya, Siti berkata, album tersebut simbolik yang merujuk kepada idea, pemikiran dan pendirian yang ingin dizahirkan olehnya.
Album yang memuatkan 11 lagu termasuk single yang dipromosikan Siti sebelum ini seperti Terang, 7 Nasihat dan Basyirah.
Istimewanya, penyanyi kesayangan ramai itu turut merakamkan semula lagu Allahyarham Datuk Sudirman, Teratai Menjelma.
Antara komposer yang terbabit dalam album itu termasuklah Hael Husaini, Ezra Kong, Ippo Hafiz, Melly Goeslaw, Aubrey Suwito dan Ryan Kyoto dari Indonesia.
Album ManisfestaSITI2020 diterbitkan Siti Nurhaliza Productions yang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia.
Untuk rekod, kali terakhir Siti menghasilkan album adalah pada tahun 2017 lalu menerusi SimetriSiti.
Untuk tempahan, orang ramai boleh layari https://snp.onpay.my/order/form/manifestasiti2020/Fadzoners. – MalaysiaGazette