KUALA LUMPUR – Mengubah logo warna merah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sah didaftarkan kepada hitam adalah perbuatan sabotaj dan tidak menghormati undang-undang negara.
Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Cawangan Telok Mas, Roselinda Muamad berkata, warna lambang Bersatu yang sah didaftarkan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) adalah merah bukan hitam.
“Persoalannya sekarang kenapa bertukar hitam? Jika bertukar hitam adakah sudah didaftarkan atau sudah diluluskan RoS?
“Tetapi dalam isu ini seluruh ahli Bersatu jelas memahami ia merujuk kepada logo parti itu dan tindakan ini sengaja hendak sabotaj Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
“Muhyiddin adalah kerajaan yang dilantik secara rasmi oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA). Jadi ini bermakna secara halus ahli yang menggunakan logo hitam itu mengkhianati YDPA,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, penganalisis politik, Isham Jalil mendakwa pihak yang menyuruh warna merah logo ditukar hitam tu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya sebagai tanda solidariti menentang Muhyiddin.
“Tun mengeluarkan arahan itu ketika dia sudah bukan lagi ahli Bersatu. Soalannya adakah tindakan Tun kerana marah di sebabkan beliau gugur keahlian Bersatu secara automatik mengikut Perlembagaan Bersatu?
“Yang pasti Tun telah memfitnah dan menghasut ahli-ahli biasa Bersatu supaya membenci Muhyiddin.
“Kenapakah polis tidak tangkap Tun semasa pemerintahan Tun? Inikan wartawan yang melaporkan perkara yang benar pun ditangkap atas tuduhan menyiarkan berita palsu dan menimbulkan kebimbangan, kegusaran dan kegentaran awam?” soalnya.
Tambah Isham, Mahathir sendiri yang mengisytiharkan diri keluar Bersatu kemudian masuk balik, beliau sendiri letak jawatan kemudian hingga sekarang nak balik jadi Perdana Menteri.
“Tun kata Muhyiddin adalah pengkhianat dan memfitnah kerajaan Muhyiddin adalah kerajaan pintu belakang (yang telah dilantik secara sah oleh YDPA) tetapi sekarang Tun pula berusaha untuk menjatuhkan Perikatan Nasional dan nak menubuhkan kerajaan pintu belakang.
“Jelas tindakan Tun sendiri mengaku dia juga adalah pengkhianat. Sudah-sudah harap polis mengambil tindakan sebelum negara menjadi lebih kucar kacir dan huru hara,” katanya.
Sebelum ini semua penganalisis politik dari beberapa universiti tempatan menyeru agar Mahathir menghentikan hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri lagi.- MalaysiaGazette