KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, nama To’ki kembali menjadi sebutan apabila penyanyi dan komposer itu dilaporkan hidup serba kekurangan.
Kisah sedih itu telah membawa pendakwah bebas, Ebit Lew ke pondok kecil yang dihuni To’ ki dan isteri sejak setahun yang lalu di pinggir Batu 12, Gombak.
Terkenal dengan sifat mudah tersentuh dengan kesulitan hidup orang lain, Ebit Lew meluangkan masa bertanya khabar artis yang pernah menjadi sebutan ramai.
Menggambarkan To’ ki atau Mohd Zaki Mansur seorang yang mudah mesra, Ebit berkata, ketibaannya disambut dengan pelukan.
“Sebak sayu tadi ziarah To’ki. Best-best lagu. Ramai tag saya di fb berita ini. Saya terus ke sana. Sampai jer dah berdebar kata Allah ke dalam juga ini. Sekali sampai pondok ini ini dah setahun To’ki tinggal bersama isterinya yang sakit. To’ki khidmat jaga dan uruskan isteri kerana isteri tak boleh bergerak sangat.
“Dari jauh To’ki terus sambut saya dan terus peluk saya. Tak sempat nak cakap apa-apa. Macam dah lama kenal. Terus To’ki kata kenapa ustaz buat semua ini. Kebaikan pada semua orang tanpa harap balasan. Allah sayang ustaz,” tulisnya di Instagram.
Meninjau keadaan ‘pondok’ kecil yang dihuni To’ Ki, Ebit bingkas menghulurkan bantuan beberapa kelengkapan seperti peti sejuk dan mesin basuh.
Beliau turut memaklumkan akan membantu menyediakan saluran air dari sungai untuk kegunaan penyanyi itu dan isterinya.
To’ Ki, 53 tinggal di sebuah pondok kecil yang dianggap sebagai syurga bersama isteriny,a Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48.
Beliau menjaga isterinya yang patah tulang pinggul akibat kemalangan sejak 10 Jun lalu.-MalaysiaGazette