Home Sukan Lima negara bida hak tuan rumah Piala Asia 2027

Lima negara bida hak tuan rumah Piala Asia 2027

KUALA LUMPUR – Lima negara – India, Iran, Qatar, Arab Saudi dan Uzbekistan – telah menyatakan minat mereka untuk menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Asia 2027 selepas tarikh akhir bidaan tamat semalam.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menyambut baik minat yang ditunjukkan lima negara berkenaan untuk menganjurkan kejohanan bola sepak utama Asia itu.

“Piala Asia AFC adalah kemuncak bagi edisi terbaik Asia dan telah memecah rekod dan merupakan edisi terbesar di Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2019 yang telah meletakkan asas bagi bola sepak Asia untuk mengukuhkan legasi ini dan kami tidak meragui bahawa China tidak hanya sesuai tetapi juga akan memenuhi semua harapan kami pada 2023,” katanya di laman web AFC www.the-afc.com.

Daripada lima negara itu, hanya dua yang pernah dua kali menjadi tuan rumah kejohanan tersebut sejak ia dianjurkan pada 1956. Juara bertahan Qatar menganjurkan kejohanan itu pada 1988 dan 2011 manakala Iran adalah satu-satunya negara dalam sejarah bola sepak Asia memenangi piala itu dua kali di tanah air sendiri pada tahun 1968 dan 1976.

Piala Asia 2023 akan diadakan di 10 bandar di China, kali kedua negara itu menganjurkan kejohanan tersebut selepas 2004.- BERNAMA