KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad menegaskan, gagasan itu sewajarnya diteruskan bukan hanya selepas tumbangnya Pakatan Harapan (PH) bahkan demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Kita mahu gagasan PN ini diteruskan bukan setakat PRU-15, sebaliknya ia menjadi parti masa depan kerajaan yang lebih stabil bagi menjamin kemakmuran negara dan rakyat.
“Kita menyokong hasrat itu (daftarkan PN), lepas ini ada dua blok sahaja iaitu satu blok pemerintah dan satu lagi blok pembangkang.
“Kalau blok pemerintah ini bergabung dan gabungan ini mewujudkan kestabilan, kami amat menyokong usaha itu,” katanya pada sidang media di Wisma MPM hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti yang mendukung Kerajaan PN yang diadakan di Putrajaya semalam.
Dalam pertemuan itu, semua pemimpin menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin serta bermuafakat memperkukuhkan persefahaman, kerjasama kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Pemimpin yang hadir termasuk Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, MPM menyambut baik hasrat Muhyiddin untuk melihat Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) secara rasmi bagi membolehkan ia terus menerajui PN termasuk pembentukan kerajaan selepas PRU-15.
“MPM menyambut baik hasrat para pemimpin parti-parti itu. Diharapkan dengan formaliti kerajaan yang terbentuk sejak Mac lalu akan semakin stabil.
“MPM amat bimbang, sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018 hingga kini, Malaysia di antara negara paling kuat berpolitik di dunia.
“la amat membimbangkan kerana senario itu cetus ketidakstabilan dalam banyak aspek kehidupan. Keadaan ini telah menakutkan para pelabur untuk melabur di negara ini,” katanya lagi.
MPM juga tidak menolak kemungkinan gagasan PN bakal menjadi pengganti kepada Barisan Nasional (BN) sebagai parti dominan di negara ini yang tewas kepada Pakatan Harapan pada PRU-14 lalu.
“Kalau ikutkan mereka mahu pergi lebih jauh, kita boleh mengandaikan PN ini sebagai pengganti kepada BN yang tewas kepada PH dan kini naik pula PN.
“Hasrat pemimpin utama PN sekarang mahu melihat gagasan ini untuk jangka masa panjang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Yang terbaik untuk PN dan Muafakat Nasional.