Home Ekonomi Sarawak akan bangun hab petrokimia di Bintulu

Sarawak akan bangun hab petrokimia di Bintulu

Abang Johari Tun Openg

BINTULU – Kerajaan Sarawak mengenal pasti tapak seluas 1,068 ekar (432.2 hektar) di Tanjung Kidurong di sini untuk pembangunan hab petrokimia.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, tapak tersebut, terletak 36 km dari Taman Perindustrian Samalaju, dianggap sesuai sebagai hab tersebut berdasarkan aksesnya kepada stok suapan, menjadi tumpuan kepada aktiviti lapangan gas luar pesisir dan berdekatan dengan saluran paip gas sedia ada.

“Aktiviti seperti industri hiliran ammonia/urea, LNG (gas asli cecair) dan gas kepada cecair (GtL) telah ada di Bintulu, selain industri berat berdekatan Samalaju,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas melawat tapak tersebut hari ini.

Menurut beliau, tapak itu juga berdekatan dengan infrastruktur yang sesuai seperti pelabuhan laut dalam dan rangkaian jalan raya antara mod di Bintulu, selain pelabuhan baru yang sedang dibangunkan di Samalaju oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPUS).

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menjalankan kajian bersama untuk menghasilkan pelan induk hab tersebut.

“EPUS dan Petronas sedang mengumpul maklumat dan berbincang dengan pelabur yang berpotensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membangunkan pelan induk yang menyeluruh (untuk hab itu),” katanya.

Abang Johari berkata, hab petrokimia itu dijangka mewujudkan 74,000 pekerjaan baru di sini dan mempunyai potensi untuk menjana tambahan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara RM16 bilion dan RM20 bilion setahun kepada Sarawak.

“Ini akan membolehkan Sarawak menambah nilai sumber aslinya sejajar dengan aspirasi negeri untuk mengukuhkan aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas,” katanya.- BERNAMA