GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang esok termasuk Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy.
Ketika mendedahkan perkara tersebut kepada pemberita, Ramasamy berkata pertemuan beliau dengan SPRM dijangka berlangsung di pejabatnya di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak di sini pada 9.30 pagi.
Menurutnya beliau juga difahamkan SPRM akan turut bertemu dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco negeri Zairil Khir Johari.
“Sebelum ini, saya pernah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut pada 2018, namun ia terhenti. Walau bagaimanapun, kerajaan baharu sekarang ingin melihat perkara itu kembali,” katanya pada sidang media pengumuman penganjuran Ekspo Pendidikan dan TVET Pulau Pinang secara dalam talian 2020 hari ini.
Ramasamy berkata sekiranya pertemuan itu mempunyai kaitan dengan isu rasuah projek mega terowong dasar laut, beliau akan memberi kerjasama dan menerima kedatangan SPRM dengan hati terbuka.
Semalam, Chow memaklumkan kerajaan negeri telah menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa Exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes SPRM. Difahamkan penahanan Chew adalah berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Ekspo Pendidikan dan TVET secara dalam talian tersebut, Ramasamy berkata ekspo akan diadakan dari 10 hingga 12 Julai ini, bermula 10 pagi hingga 6 petang.
Beliau berkata sebanyak 23 institusi pengajian tinggi dan lima institusi TVET mengambil bahagian tahun ini termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Kolej Tuanku Abdul Rahman, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas dan Universiti Teknologi Petronas yang juga selaku penaja platinum.
“Pada tahun ini, ekspo pendidikan ini dilaksanakan secara dalam talian sebagai langkah mengekang penularan pandemik COVID-19. Ekspo adalah terbuka kepada pelajar tempatan dan pendaftaran adalah percuma,” katanya.
Pelajar yang berminat boleh mendaftar menerusi https://penangonlineeducationfair.com atau hubungi talian 012-422 4004 atau e-mel [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut, katanya.
— BERNAMA