BACHOK – Isteri salah seorang pemancing terlibat dalam tragedi bot terbalik dan karam di perairan Bachok, yakin suaminya masih hidup, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang memasuki hari keempat, hari ini.
Siti Ayu Ishak, 30, percaya suaminya Arman Ismail, 43, yang belum ditemukan dalam tragedi bot terbalik Isnin lepas, masih hidup kerana suaminya pandai berenang serta mampu mengimbangi badan di laut.
“Sehingga ke hari ini saya masih setia menunggu di jeti bagi mengetahui khabar berita suami, malah keluarga juga tidak putus-putus melakukan solat hajat serta berdoa untuk keselamatan suami yang masih hilang sejak hari pertama kejadian.
“Malah saya juga berharap dua lagi mangsa yang masih hilang ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kuala Kemasin di sini, hari ini.
Ibu kepada tiga anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun itu berkata, suaminya sebelum ini pernah beberapa kali ke laut untuk memancing dan mencandat sotong.
“Memandangkan suami sudah biasa ke laut sebelum ini, jadi saya tidak berat hati untuk melepaskan dia turun ke laut, namun tidak menyangka tragedi ini berlaku.
“Saya berharap ada keajaiban berlaku dan suami ditemukan dalam keadaan selamat memandangkan dia satu-satunya sumber pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Setakat ini, lima mangsa yang meninggal dunia ditemukan sejak operasi SAR dilancarkan iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an dan Ahmad Syafiq Che Alim, 30.
Sementara itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian tersebut, dengan kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 60 tahun.
Dalam operasi pencarian seluas 351.6 batu nautika persegi semalam, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal mencari tiga mangsa yang masih hilang iaitu Arman, Harun Daud, 57, dan Che Wadi Bakar, 40-an.
— BERNAMA