KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali akan turun padang untuk mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri di Johor bagi mendengar sendiri permasalahan dan cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MITI dalam satu kenyataan berkata, lawatan dua hari bermula esok itu membolehkan pihak industri memberikan pandangan serta cadangan mereka kepada kerajaan terutamanya berhubung pembukaan semula perniagaan masing-masing.
Inisiatif ini juga memberi peluang kepada MITI serta agensi-agensi di bawahnya untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung isu-isu yang dihadapi syarikat dan transformasi yang dilakukan susulan krisis Covid-19.
“Ini akan membantu MITI mereka strategi dan dasar yang lebih baik untuk menyokong pertumbuhan industri pada masa depan,” katanya.
Azmin dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor Datuk Ir. Hasni Mahammad disusuli sesi meja bulat bersama wakil-wkil industri.
Satu dialog tertutup turut diadakan bagi membolehkan para pemain industri berhubung secara langsung dengan Menteri Besar dan Menteri MITI bagi membincangkan isu-isu perniagaan yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.- MalaysiaGazette