Home Nasional Ujian saringan akan dilakukan ke atas pelajar, kakitangan sekolah tahfiz

Ujian saringan akan dilakukan ke atas pelajar, kakitangan sekolah tahfiz

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pelajar dan kakitangan madrasah dan sekolah tahfiz, termasuk yang belum berdaftar untuk beroperasi semula pada 11 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat kira-kira 1,000 buah madrasah dan sekolah tahfiz yang masih tidak menjalani saringan virus itu sebelum ini.

“Kita sudah kenalpasti madrasah dan sekolah tahfiz yang berdaftar dan tidak berdaftar untuk beroperasi semula seperti diumumkan baru-baru ini.

“KKM menhalu-alukan mereka daftarkan sekolah tahfiz dan akan dilibatkan dalam ujian saringan secara berperingkat terhadap pelajar dan kakitangan setiap premis itu,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Menurut Noor Hisham, bagi sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan pengesanan kes Covid-19 melalui aktiviti survelan, termasuk survelan klinikal (pengawasan klinikal) dan saringan kumpulan sasar.

Tambah beliau, pendekatan tersebut bagi memastikan kes-kes Covid-19 di dalam komuniti terus dipantau, dikesan pada peringkat awal dan dibendung.

Beliau berkata, pendekatan tersebut turut dilaksanakan di beberapa negara lain yang sedang memerangi Covid-19 tanpa ujian dilakukan secara besar-besaran.

“Kebelakangan ini jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia didapati semakin menurun, malahan ianya adalah dalam lingkungan satu angka sejak lima hari yang lalu. Pencapaian ini
adalah amat positif namun masih wujud kekhuatiran mengenai kes Covid-19.

“Dengan pendekatan tertumpu ini, sumber yang digunakan bagi menjalankan ujian dan aktiviti saringan ini dapat dipertimbangkan dengan cermat. Termasuk juga bagi mengelak pembaziran,” katanya. – MalaysiaGazette