CHINI – Barisan Nasional (BN) kelihatan sedang meraikan ‘kemenangan tidak rasmi’ dalam satu acara di bilik gerakan utama (BGU), hari ini.
Ketika ini satu perhimpunan kepimpinan BN diadakan di BGU dengan aktiviti mengira undi daripada jumlah undi yang diberikan agen parti.
Ia diumumkan oleh Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dengan mengambil kira semua peti undi di PRK Chini.
Ia dilihat dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausahanya, Datuk Ahmad Maslan.
Hadir sama, calon BN, Mohd Sharim Md Zain bersama-sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
Kesemua mereka yang hadir dilihat tersenyum gembira antara satu sama lain.
Annuar turut didengar memanggil calon bebas, Tengku Datuk Zainul Abidin Tengku Hussin selaku calon Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setakat ini BN dilihat memperoleh lebih 7,000 undi seperti yang dipaparkan dalam Facebook live mereka sebentar tadi.
Pada PRU14, calon BN, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun memenangi kerusi berkenaan dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – MalaysiaGazette