KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia membuka pintu sempadan dengan negara yang berstatus zon hijau atau bebas wabak Covid-19, sebagai langkah memacu ekonomi dalam sektor pelancongan.
Bagaimanapun langkah tersebut, ujar Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, perlu dilaksanakan dengan persetujuan dua hala dengan negara terlibat dalam masa yang sama memastikan pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan.
“Sebenarnya kerajaan telah berbincang tentang perkara ini dan kita di Malaysia bersedia membuka pintu dengan negara ‘bubble’ tetapi ianya tertakluk kepada persetujuan dua hala,” katanya selepas melancarkan Promosi We Are Free: Masuk Percuma di Menara Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, kerajaan sedang berbincang dengan Singapura untuk saling membuka pintu sempadan.
“Sebagai contoh Malaysia dan Singapura kalau kita bersetuju rakyat berkunjung ke Singapura dan rakyat sana berkunjung ke sini, kita akan laksanakan dengan SOP yang telah ditetapkan,” jelas beliau.
Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia tidak akan terburu-buru untuk membuka semula pintu sempadan dengan negara hijau walaupun perkembangan semasa kini menyaksikan kes jangkitan wabak itu kini semakin menurun.
Senada dengan KKM, Jeffrey turut mengesahkan perbincangan tentang pintu sempadan untuk negara zon hijau masih di peringkat awal. – MalaysiaGazette