KANGAR – Cubaan penyeludup migran menggunakan sebuah bot menyerupai bot nelayan membawa tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Sungai Baru gagal apabila ditahan dekat sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, bot itu ditahan oleh pasukan khas Op Benteng dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar ketika melakukan pendaratan kira-kira pukul 1.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua lelaki dipercayai warga Indonesia berumur antara 30 hingga 55 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mereka ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media Op Benteng di IPD Kangar di sini, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan gagal menemui sebarang alat menangkap ikan pada bot berkenaan dan bot tersebut dibawa ke Jeti Kuala Perlis sebagai barang kes.
Menurut Wari, siasatan awal daripada suspek yang ditahan, memberitahu bahawa pemilik bot itu yang juga warga Indonesia berjaya melarikan diri dan polis sedang memburu suspek berkenaan.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, Wari berkata, polis menahan empat warga Myanmar termasuk seorang wanita berumur antara 29 hingga 40 tahun di kawasan paya bakau, di Pulau Ketam pada 2 Julai.
“Hasil pemeriksaan mendapati pasport keempat-empat warga Myanmar itu telah tamat tempoh sejak 2019 dan sudah lama berada di paya bakau itu,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1956/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Wari berkata, kesemua PATI yang ditahan didapati negatif COVID-19 selepas menjalani ujian dan kini ditahan di Balai Polis Kuala Perlis.
Beliau meminta orang ramai serta nelayan tempatan yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti peyeludupan migran atau barang, segera menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama