KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengarahkan tiga kontraktor yang terlibat dengan projek Tun Razak Exchange (TRX) supaya mengadakan satu pelan tindakan bagi mengelak kelewatan bagi menyiapkan projek itu.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan tersebut perlu dibuat kerana projek tersebut melibatkan para pelabur dari luar negara yang telah membuat keputusan untuk masuk ke TRX.
Katanya, masalah yang ditemui daripada pelan yang dibuat akan dibentang kepada pihak Kementerian Kewangan kerana ia mempunyai komitmen dengan para pelabur di TRX.
“Kita percaya mereka (pelabur) mahu supaya kita membayar macam satu bentuk ganti rugi kalau kita tidak siapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Kita nak mengelak perkara itu sedangkan kita ada masalah teknikal terutama yang melibatkan pembinaan terowong yang melibatkan tiga kontraktor yang berlainan.
“Jadi, berlaku kelambatan sebab perkara begitu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan TRX berhubung projek penyuraian trafik dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Tun Razak dari Jalan Langgak Golf ke bulatan Kampung Pandan di sini.
Mengulas lanjut, Annuar mengakui projek tersebut sememangnya agak kompleks seikit berbanding projek-projek yang lain kerana ia melibatkan beberapa kontraktor dan juga pelabur-pelabur terbabit.
Ujarnya, kerajaan tidak mahu sebarang isyarat negatif diterima daripada para pelabur berkenaan hanya semata-mata jika berlaku kelewatan itu.
Ini kerana katanya, Malaysia sememangnya mahu terus menjadi negara pilihan pelabur-pelabur tersebut kerana mereka semua adalah pelabur besar dari institusi kewangan antarabangsa yang diiktiraf.
“Jadi kita kena siapkan. Untuk nak mempastikan pelabur-pelabur itu akan terus memilih Malaysa sebagai destinasi pelaburan mereka, maka kita mesti buat semua komitmen kita termasuk menyiapkan kemudahan-kemudahan yang kita janjikan tepat pada masanya,” tambahnya. – MalaysiaGazette