Home Dunia Arab Saudi keluar protokol untuk jemaah haji

Arab Saudi keluar protokol untuk jemaah haji

Suasana Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia ketika berwukuf di Arafah. foto RADZUAN HASSAN, 10 OGOS 2019

KAHERAH – Arab Saudi mengumumkan protokol kesihatan untuk mencegah penyebaran Covid-19 semasa musim haji tahun ini termasuk melarang perjumpaan dan pertemuan antara jemaah.

Pada bulan lalu, Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji dilakukan tetapi dengan jumlah yang terhad iaitu 1,000 orang.

Para jemaah juga tidak dibenar menyentuh Kaabah dan mencium batu Hajar Aswad serta menggunakan batu yang disteril semasa melontar dan ia dibawa di dalam beg yang dibungkus.

Malah akses ke Mina, Muzdalifah dan Arafah juga akan terhad kepada mereka yang mempunyai permit haji mulai 19 Julai hingga 2 Ogos 2020.

Penjarakan sosial ditetapkan 1.5 meter antara setiap jemaah termasuk ketika bersolat dan mengelilingi pusingan Kaabah, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC).

Para jemaah juga diwajibkan memakai topeng sepanjang masa dan membuangnya ditempat yang disediakan.

Sekiranya ada jemaah haji yang didapati mempunyai gejala koronavirus ketika menunaikan haji, mereka akan dibenarkan menyelesaikan ibadahnya hanya setelah mendapat penilaian doktor.

Rumah atau penempatan, pengangkutan dan jadual perjalanan secara berasingan akan ditetapkan sesuai dengan keadaannya.

Mana-mana jemaah, yang mengalami selesema, suhu tinggi, batuk, hidung berair, sakit tekak atau kehilangan deria bau dan rasa secara tiba-tiba, tidak akan dibenarkan menjalankan ibadah haji sehingga gejala tersebut hilang dan perlu mendapatkan laporan doktor bagi membukti pemulihan

Jemaah haji mesti dibenarkan bergerak ke Jamarah dalam waktu yang dijadualkan supaya jumlah jemaah yang melemparkan batu tidak melebihi 50 jemaah untuk setiap tingkat kompleks dan mereka harus menjaga jarak 1.5 hingga dua meter antara dua jemaah semasa melakukan ibadah tersebut.

CDC memaklumkan, jemaah haji dibenarkan mengambil dan minum air Zamzam dalam bekas sekali pakai.

Semua peti sejuk di Masjidil Haram di Makkah dan tempat-tempat ibadah lain akan dibawa keluar kerana tidak dibenar digunakan.

Hanya makanan yang sudah dibungkus disediakan secara berasingan untuk setiap jemaah.

Jemaah haji perlu mematuhi peraturan yang disediakan dengan tinggal di kawasan yang sudah ditentukan semasa di Arafat dan Muzdalifah.

Tidak boleh ada lebih dari 10 jemaah bagi setiap 50 meter persegi kawasan khemah.

Jemaah haji mesti dibenarkan bergerak ke Jamarat dalam waktu yang dijadualkan supaya jumlah jemaah yang melemparkan batu tidak melebihi 50 jemaah untuk setiap tingkat  dan mereka harus menjaga jarak 1.5 hingga dua meter antara dua jemaah semasa melakukan ibadah tersebut. – MalaysiaGazette