Home Dunia Iran akui kebakaran besar berlaku di kemudahan nuklear di Natanz

Iran akui kebakaran besar berlaku di kemudahan nuklear di Natanz

Kemudahan nuklear bawah tanah yang terletak di Natanz. foto Agensi

DUBAI – Kebakaran yang berlaku di kemudahan nuklear bawah tanah di Natanz, Isfahan telah menyebabkan kerosakan besar boleh melambatkan pembangunan sentrifugal canggih yang digunakan untuk pengayaan uranium.

Badan keselamatan tertinggi Iran sebelum ini memaklumkan punca kebakaran yang berlaku pada hari Khamis.

Beberapa pegawai Iran tidak menolak kemungkinan kebakaran itu disebabkan sabotaj siber dan Teheran akan membalas dendam terhadap mana-mana negara yang melakukan serangan tersebut.

Pada hari Khamis, agensi berita negara Iran, IRNA dalam satu artikel melaporkan kebakaran itu mungkin disebabkan oleh sabotaj yang dilakukan oleh musuh seperti Israel dan Amerika Syarikat, walaupun ia tidak menuduh secara langsung.

Menteri Pertahanan Israel memaklumkan negara itu tidak “semestinya” berada di sebalik setiap kejadian misteri di Iran.

Tiga pegawai Iran percaya kebakaran itu akibat serangan siber tetapi tidak memetik bukti.

“Kejadian itu dapat melambatkan pengembangan dan pengeluaran sentrifugal canggih dalam jangka masa sederhana … Iran akan mengganti bangunan yang rosak dengan bangunan yang lebih besar yang mempunyai peralatan yang lebih maju,” agensi berita negara IRNA memetik jurucakap Organisasi Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi sebagai berkata.

Tambahnya, meskipun kebakaran itu mengakibatkan kerosakan besar tetapi tiada nyawa terkorban.

Dalam pada itu, Ketua Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran memaklumkan Teheran telah membangunkan “kota peluru berpandu” bawah tanah di sepanjang pantai Teluk dan memberi amaran tentang “mimpi buruk bagi musuh Iran”.

Pihak berkuasa Iran mengatakan kemudahan itu wujud di semua wilayah Iran tetapi setakat ini hanya melancarkan tiga pangkalan dan selama ini tidak pernah mendedahkan telah membinanya di sepanjang pesisirnya.

Natanz adalah pusat program pengayaan Iran, yang menurut Teheran adalah untuk tujuan damai.

Agensi perisik barat dan pengawas nuklear PBB (IAEA) percaya ia mempunyai program senjata nuklear tersembunyi yang dihentikan pada tahun 2003.

Namun Teheran menafikan pernah mempunyai senjata nuklear.

Iran bersetuju untuk mengekang program nuklearnya sebagai ganti penghapusan sebagian besar sekatan antarabangsa dalam perjanjian dengan enam kuasa besar dunia pada tahun 2015.

Tetapi Iran secara beransur-ansur telah mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian tersebut sejak Presiden Donald Trump menarik diri dari perjanjian itu pada 2018 dan memperhebatkan sekatan ekonomi ke atas Iran.

Perjanjian itu hanya membolehkan Iran melakukan pengayaan uranium di kemudahan Natanz dengan hanya lebih daripada 5,000 sentrifugal generasi pertama IR-1, tetapi Iran telah memasang sentrifugal baharu. – MalaysiaGazette