Home Dunia Kanak-kanak 7 tahun antara 13 individu maut dalam insiden tembakan di Chicago

Kanak-kanak 7 tahun antara 13 individu maut dalam insiden tembakan di Chicago

CHICAGO – Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, terbunuh pada parti yang diadakan oleh satu keluarga sempena Hari Kemendekaan yang disambut pada hujung minggu, kata polis.

Sekurang-kurangnya 59 orang lagi ditembak dan cedera, lapor AP.

Dalam kejadian yang berlaku sebelum tengah malam Sabtu, empat lelaki melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul di jalan di kawasan kejiranan Englewood, kata jurucakap polis, Tom Ahern.

Dua lelaki mati di tempat kejadian dan dua individu lagi, termasuk seorang remaja berusia 14 tahun, meninggal dunia di hospital, kata Ahern.

Empat orang mengalami kecederaan yang mana seorang berada dalam keadaan kritikal dan keadaan tiga orang yang cedera itu stabil, tambah Ahern.

Empat penyerang melarikan diri dari tempat kejadian. Tiada tangkapan dilakukan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mati ditembak di kepala ketika dia sedang berdiri di kaki lima berhampiran rumah neneknya pada pukul 7 malam semasa parti Hari kemerdekaan diadakan di kejiranan Austin, kata polis.

Suspek yang keluar daripada sebuah kereta mula melepaskan tembakan, kata polis. Tiada tangkapan dilakukan.

“Malam ini, seorang kanak kanak perempuan berumur tujuh tahun di Austin menyertai satu senarai remaja dan kanak-kanak yang mana harapan dan impian mereka diakhiri oleh senapang,” kata Datuk Bandar, Lori Lightfoot dalam akaun twitter.

Seorang lelaki berusia 32 tahun cedera dalam kejadian tembakan itu dan keadaanya stabil.

Laporan Sun Times memetik polis berkata, tujuh orang yang mengalami kecederaan dalam insiden tembakan itu adalah remaja. – Agensi