Home Utama Mahkamah arah anak Najib bayar RM37.6 juta kepada LHDN

Mahkamah arah anak Najib bayar RM37.6 juta kepada LHDN

Mohd Nazifuddin Mohd Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi penghakiman terus dalam kes saman cukai bernilai RM37.6 juta terhadap Datuk Mohd Nazifuddin.

Nazifuddin merupakan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

LHDN sebelum ini telah memohon penghakiman ringkas yang membolehkan mahkamah memilih untuk memutuskan keputusan kes tanpa mendengar keterangan saksi.

Ketika membacakan keputusan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan untuk Nazifuddin membayar LHDN sebanyak RM37.6 juta walaupun pada masa sedang menunggu rayuan.

Jelas Ahmad Zaidi, LHDN sebenarnya telah berjaya mengemukakan kes yang begitu terang dan jelas manakala Nazifuddin selaku defendan pula telah gagal membangkitkan kes dengan merit.

“Saya telah teliti hujah kedua-dua belah pihak malah saya juga telah mempertimbangkan semua aspek menggunakan undang-undang sedia ada.

“Saya berpendapat undang-undang cukup jelas dalam perlembagaan yang mana defenden perlu membayar selama menanti rayuan.

“Defendan tidak dilarang mencabar notis penilaian kemudian terhadap Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan, seperti yang diperuntukkan oleh prosedur undang-undang,” katanya ketika prosiding hari ini.

Sementara itu, peguambela mewakili Nazifuddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui media berkata, pihaknya akan membuat rayuan sejurus selepas bercakap dengan anak guamnya secepat mungkin.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee (kanan) hadir ke mahkamah berikutan kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak guamnya, Datuk Mohd Nazifuddin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JULAI 2020.

Pada 2 Mac, Hakim Zaidi menolak permintaan Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kes sementara menunggu rayuan nilai tunggakan.

LHDN mengemukakan surat perintah saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai tahun lalu, dengan mendakwa beliau masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari tahun 2011 hingga tahun 2017. –MalaysiaGazette

+ posts

4 Komen

  1. MasyaAllah……tak bayar cukai sejak 2011?
    Kami yg bergaji ciput, tiap2 akhir tahun terpaksa berurusan dgn hal ini. Jika tidak pasti menerima “surat cinta” dari LHDN.

    Dalam hal ini aku bertanya pada diri sendiri – mengapa dia “terlepas” dari berurusan dgn pihak LHDN sejak 2011 tu dan banyaknya pendapatan dia hinggakan yg bercukai hingga melebihi RM30 juta?

    Esh esh esh…….untungnya dia nie yer!!!!

  2. Tajuk ada sikit bias la malysia gazete ..bukan mahkamah arah bayar , tp mahkamah benarkan lhdn terus buat tuntutan terhadap kes ..

  3. Deen.. Rasanya awak tak faham peruntukan undang2 berkaitan cukai.. Cuba gi semak btl.. Mahkamah benarkan lhdn sbb peruntukan yg msngatakan mahkamah tak blh masuk campur walaupun ada terlebih tafsiran dan sebagainya.. Faham btl2 sebelum buat komen.. Verdict mahkamah bermaksud mahkamah tak bkh masuk campur sikit pun walaupun taksiran cukai tak adil. Jangan jd pak kadir the 2nd

  4. Deen.. Rasanya awak tak faham peruntukan undang2 berkaitan cukai.. Cuba gi semak btl.. Mahkamah benarkan lhdn sbb peruntukan yg msngatakan mahkamah tak blh masuk campur walaupun ada terlebih tafsiran dan sebagainya.. Faham btl2 sebelum buat komen.. Verdict mahkamah bermaksud mahkamah tak blh masuk campur sikit pun walaupun taksiran cukai tak adil. Jangan jd pak kadir the 2nd.

    Kedua org islam bayar zakat bukan cukai

Comments are closed.